Gambar menunjukkan kemalangan antara kapal persiaran dan Mermaid pada minggu lalu. foto Agensi

BUDAPEST – Kapten yang mengendalikan kapal persiaran dalam kemalangan di Sungai Danube minggu lalu pernah terlibat dalam beberapa kemalangan yang sama di Netherland pada bulan April lalu, menurut pendakwa raya.

Dalam nahas tersebut, kapal Viking Sigyan melanggar bot pelancong, Mermaid lalu tenggelam.

Kejadian itu mengorbankan 28 orang.

Kapten yang berasal dari Ukraine itu dikenali sebagai Yuriy C, telah ditahan tetapi menafikan salah laku.

Yuriy C juga didakwa telah memadamkan data daripada telefon bimbitnya susulan kemalangan berkenaan.

Namun, pendakwa raya tidak jelas sama ada data yang dipadamkan itu ada kaitan dengan insiden.

Menurut pendakwa raya, Yuriy C adalah kapten kapal yang berlanggar dengan kapal kargo semasa berlayar dari Antwerp ke Ghent pada 1 April lalu.

Eurojust – rangkaian pihak berkuasa undang-undang Kesatuan Eropah – mengesahkan Yuriy C adalah kapten kapal yang terlibat dalam pelanggaran di Netherland, tetapi tidak memberi maklumat lanjut.

Menurut media Belanda ketika kejadian tersebut, kapal persiaran yang terbabit adalah Viking Idun yang dikendalikan oleh Viking Cruises – syarikat sama yang menguruskan Viking Sigyn.

Setakat ini sebanyak 17 mayat telah ditemui dan 11 lagi yang masih hilang. – MalaysiaGazette