Datuk Seri Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya menurunkan tarif elektrik pada 1 Julai ini berikutan kos gas dan arang batu menurun pada paras paling rendah sejak 3 1/2 tahun yang lalu.

Datuk Seri Najib Razak berkata, meskipun harga kedua-dua bahan api untuk menjana elektrik di Malaysia telah jatuh tetapi kerajaan telah menaikkan tarif elektrik dua kali.

Malah, kerajaan juga telah memotong rebat bil elektrik sebanyak RM20 sebulan sejak PH mengambil alih pentadbiran Putrajaya.

“Mengikut sistem sedia ada yang ditetapkan masa BN, kerajaan PH diwajibkan untuk kaji semula dan mengumumkan harga baru tarif elektrik pada 1 Julai 2019.

“Oleh itu, kerajaan PH patut turunkan tarif elektrik dengan kadar yang signifikan pada akhir bulan Jun ini.

“Kalau PH tidak turunkan atau turunkan dengan sedikit sahaja, Rakyat ada hak untuk membantah,” katanya di sini.

Pada Julai tahun lalu, kerajaan memutuskan supaya peningkatan kos sebanyak 1.35 sen setiap kWj dilepaskan dalam bentuk surcaj pelarasan Kos Pelepasan Tidak Seimbang (ICPT) kepada semua pengguna bukan domestik di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2018.

Kerajaan turut menetapkan surcaj ICPT itu dikecualikan kepada semua pengguna domestik sepanjang tempoh sama.

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2019, kerajaan bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan mekanisme ketidakseimbangan ICPT dengan kadar tarif asas kekal pada 39.45 sen/kWj.

Namun, Suruhanjaya Tenaga berkata, tiada surcaj tarif elektrik yang akan dikenakan kepada semua pengguna domestik kerana kerajaan memutuskan untuk menggunakan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik sebanyak RM308 juta untuk meringankan beban rakyat.

Pelepasan surcaj ICPT sebanyak RM948 juta kepada pengguna bukan domestik dilaksanakan secara berperingkat iaitu mengekalkan surcaj ICPT semasa sebanyak 1.35 sen/kWj untuk tempoh 1 Januari hingga 28 Februari 2019 dan bermula pada 1 Mac hingga 30 Jun 2019, surcaj ICPT adalah 2.55 sen/kWj.

Pengerusi Tenaga Nasional Berhad dalam satu kenyataan April lalu berkata, penurunan harga arang batu dan gas global baru-baru ini tidak akan menjejaskan tarif elektrik di Malaysia kerana harga masih lebih tinggi daripada harga asas yang ditetapkan semasa semakan tiga tahun pada 2018.

Tan Sri Leo Moggie berkata, harga arang batu dan harga gas kira-kira AS $ 90 (RM367) setan dan RM28 bagi setiap MMBtu lebih tinggi daripada AS$$ 75 setan metrik dan RM27.20 setiap MMBtu semasa penyemakan.

“Harga arang batu nampaknya merosot, tetapi dari perspektif komoditi antarabangsa, harganya lebih tinggi dari harga dasar yang ditetapkan untuk penjanaan tenaga,” ujar beliau. – MalaysiaGazette