Padi MRQ76

KOTA BHARU – – Padi wangi varieti MRQ76 yang berjaya dalam tanaman ujiannya di Selising, Pasir Puteh membuktikan bahawa padi berkenaan adalah setaraf dengan beras wangi yang diimport dari Thailand dan Vietnam.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Senator Datuk Husam Musa, sehubungan itu mahu lebih ramai pesawah dalam seliaan KADA menyahut seruan kerajaan untuk menanam padi wangi tempatan itu.

“Saya gembira apabila padi ini berjaya dalam ujian tanamannya yang sesuai untuk tanaman di negara kita. Padi ini setaraf kualitinya dengan beras wangi import yang kita makan dan ia sangat sesuai untuk kesihatan terutama pesakit diabetes,” katanya baru-baru ini.

Husam berkata, untuk itu beliau akan berbincang lebih lanjut dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub untuk melihat berapa peratus jelapang KADA yang boleh ditanam padi wangi itu.

“Menteri sendiri gembira apabila melihat keberhasilan padi ini dan telah menyatakan sokongan bagi KADA dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah untuk menjadi projek perintis untuk penanaman padi ini,” katanya.

Selain itu, pesawah akan menikmati subsidi kerajaan jika menanam padi wangi itu yang sebelum ini tidak pernah dinikmati oleh pesawah jika mahu menanam padi wangi.

“Ini kali pertama subsidi diberikan kepada penanam padi wangi dan sebab itu petani tidak ada alasan untuk tidak menanamnya,” kata Husam.

Dengan harganya yang tinggi iaitu RM40 bagi setiap paket lima kilogram, ia mampu mengubah hidup para pesawah.

Bagaimanapun, katanya, tidak semua jelapang KADA boleh ditanam padi wangi kerana ia tertakluk kepada kebenaran kementerian.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Padi Wangi Kelantan, Zailan Awang berkata kejayaan tanaman padi ini setelah dua kali penanamannya gagal berikutan beberapa faktor terutama kemarau baru-baru ini.

“Alhamdulillah selepas kali ketiga ia berjaya dan kini padi wangi ini telah mengeluarkan hasil dan ini setelah petani mendapat kerjasama MARDI dan KADA,” katanya.

Beliau berharap lebih ramai petani merebut peluang untuk menanam padi ini dan mengharapkan kementerian melalui KADA akan dapat menyediakan benih padi ini dengan secukupnya.

Zailan berkata, persatuan itu akan mengadakan pertemuan dengan pesawah lain dan akan menerangkan dengan lebih panjang mengenai kebaikan menanam padi wangi ini.

Sehubungan itu, katanya, beras wangi jenama Che Siti Wan Kembang itu akan berada di pasaran jika ia berjaya mengatasi beberapa masalah berbangkit termasuk membabitkan jumlah pengeluaran dan pasaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast