Dr Nur Amalina Che Bakri menunjukkan sesuatu kepada ibu dan bapa Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin. foto Instagram dramalinabakri

KUALA LUMPUR – Bayi yang menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, 10 bulan, berjaya menjalani pembedahan di sebuah hospital tempatan di London.

Pembedahan selama lima jam itu berjaya mengeluarkan tumor seberat 200 gram dari dalam mulut bayi tersebut.

Dr Nur Amalina antara individu yang membantu membawa Ainul Mardhiah mendapatkan rawatan di United Kingdom berkata, beliau sangat cemas sepanjang pembedahan berlangsung.

Ini kerana, pembedahan itu berisiko tinggi dan banyak persediaan perlu dilakukan bagi memastikan Ainul Mardhiah selamat.

“Bayi kecil, begitu halus, sangat cantik – “jangan bimbang bayi, semua orang ada di sini untuk membantu anda,” kata Dr Nur Amalina menerusi Instagramnya.

Pasukan pembedahan itu membabitkan pelbagai pakar termasuk perunding kepala dan leher, plastik dan kraniofasial yang diketuai oleh Prof. David Dunway dan Dr Juling Ong.

Dr Nur Amalina berkata, beliau rasa bertuah kerana menjadi sebahagian daripada kumpulan yang menjalankan pembedahan itu.

Katanya, keadaan bayi itu kini sedang dipantau dan keadannya stabil.

“Apabila saya keluar dari bilik pembedahan dan melihat ibu bapa Ainul, saya tidak dapat mengawal emosi saya. Perasaan bercampur-campur, emosional dan gembira pada masa yang sama. Ainul, Wani (Nurul Erwani Zaidi) dan Safi (Ahmad Safiuddin Ahmad Razak) adalah seperti keluarga saya sendiri.

“Mari berdoa untuk pemulihan Ainul. Terima kasih atas semua doa anda,” kata Dr Nur Amalina. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast