Muhamad Umar Swift

KUALA LUMPUR – Pasaran modal tempatan kekal berdaya tahan dengan sumber pertumbuhan yang pelbagai meskipun keadaan luaran yang tidak menentu, kata Bursa Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Muhamad Umar Swift berkata, beberapa bank termasuk UBS Group dan HSBC baru-baru ini menaik taraf saham Malaysia kerana kemampuannya untuk terus bertahan dalam keadaan peningkatan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, mencerminkan keyakinan mereka terhadap prospek pertumbuhan positif Malaysia.

“Kita mempunyai taburan pelabur yang sangat pelbagai, termasuk kehadiran pelabur institusi jangka panjang yang kukuh dan stabil, yang sentiasa menyediakan sokongan kepada aktiviti pengumpulan dana,” katanya dalam ucapan beliau semasa majlis pelancaran dagangan sulung HPMT Holdings Bhd di Pasaran Utama Bursa Malaysia, di sini, hari ini.

Muhamad Umar juga berkata, pasaran modal Malaysia mendapat pengiktirafan global serta dikawal selia dengan baik dan memberi penekanan utama kepada perlindungan pelabur.

Beliau berkata menurut Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2019, Malaysia berada di kedudukan kedua, daripada 190 ekonomi, dalam bahagian melindungi pelabur minoriti.

Bank Dunia baru-baru ini menyenaraikan Malaysia sebagai negara ke-13 paling mudah untuk menjalankan perniagaan – daripada 190 ekonomi — naik sembilan tangga daripada tempat ke-24 pada tahun sebelumnya, katanya.

“Ini membuktikan daya saing dan kekuatan ekonomi kita. Secara kolektifnya, faktor-faktor ini menyediakan pelbagai peluang bagi pewujudan nilai kepada pemegang kepentingan kami,” kata Muhamad Umar.

Terdahulu pada majlis penyenaraian HPMT, beliau berkata, penyenaraian itu memberikan prospek yang baik bagi industri alatan pemotong di Malaysia, yang dilihat sebagai pemboleh penting bagi landskap pembuatan dan pemain penting dalam pembangunan ekonomi negara dalam menghadapi Revolusi Perindustrian, meningkatkan penekanan kepada peralatan automasi dan mesin

“Prospek bagi industri alat pemotong adalah positif, dengan unjuran kadar pertumbuhan tahunan pada 3.8 peratus dalam negara dan 3.9 peratus di dunia bagi tempoh 2019 hingga 2023.

“Berikutan perkembangan sedemikian, penyenaraian HPMT yang tepat pada masa akan mengukuhkan lagi profil korporat bagi pembangunan rangkaian ketika ia mencari peluang baharu untuk berkembang ke dalam dan luar negara,” katanya.

HPMT terlibat terutamanya dalam pembuatan dan pengedaran alat pemotong, dagangan alat pemotong pihak ketiga, menyokong peralatan dan aksesori bagi kerja logam serta menyediakan perkhidmatan penyalutan deposisi wap fizikal (PVD).

Pada pembukaan dagangan, HPMT diniagakan pada premium 58 sen, dua sen lebih tinggi berbanding harga terbitannya pada 56 sen sesaham.

Pada 12.30 tengah hari, saham syarikat itu turun lima sen kepada 51 sen, dengan 61.76 juta saham bertukar tangan. – MalaysiaGazette