Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim

PETALING JAYA – PKR tidak akan membuat laporan polis berhubung penularan video seks yang didakwa melibatkan pemimpin parti itu, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana, katanya, beberapa laporan polis mengenai video tersebut telah dibuat dan pihak polis telah memulakan siasatan.

Bercakap kepada media selepas mesyuarat biro politik parti itu, Anwar berkata, pihaknya sangat bimbang dengan serangan tidak berasas tanpa henti yang dilancarkan pihak tertentu terhadap pemimpin parti itu.

Sambil menafikan  sebarang penglibatan di peringkat dalaman atau luaran parti, Ahli Parlimen Port Dickson itu menyelar perbuatan jijik serta konspirasi terhadap timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kami bimbang mengenai serangan tanpa henti ini yang mana kami kutuk sekeras-kerasnya.

“Kami tidak ada bukti yang mencadangkan bahawa parti secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam perbuatan keji itu.

“Mesyuarat petang tadi selama dua jam mencari konsensus tanpa sebarang pertelagahan kerana dari awal lagi parti serta rakan rakan dalam PH menolak politik keji ini terhadap sesiapa sahaja baik dalam ataupun luar parti,” katanya.

Turut hadir dalam sidang media itu Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akil serta Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, mesyuarat petang tadi berbincang agak panjang tentang bagaimana isu tersebut harus ditangani dan melihat fakta fakta dari segi undang undang tanpa menjejaskan siasatan yang dilaksanakan pihak berkuasa.

Ditanya nasib dan status Haziq Abdul Aziz, Anwar berkata nasib pegawai Setiausaha Sulit Kanan itu akan ditentukan oleh Shamsul Iskandar pada masa yang sesuai.

Anwar juga terkejut apabila dimaklumkan tentang gelombang kedua video intim dalam WhatsApp bertajuk Azmin Ali Part2 yang tular dalam kalangan media 10 minit sebelum sidang media bermula.

Sebagai menjawab reaksi wartawan itu, beliau menjelaskan tidak berminat melihat apa yang terkandung tetapi menegaskan apa jua bentuk serangan sedemikian tidak akan mengganggu gugat pendirian parti dalam isu tersebut.

“Pada setakat ini kita buat keputusn ini dulu, tetapi (tindakan ke atas haziq) kita akan bersidang sekali lagi kena harus teliti lagi dengan dapatkan input peguam dan akan bincang semula dalam beberapa hari lagi.

“Hari ini belum ada apa apa keputusan (gantung sementara Haziq) kerana kita kaji beberapa implikasi lain.

“Jadi kita tidak mahu mengganggu hal itu dan mahu pastikan perbincangan berterusan dengan kepimpinan dan lebih penting menyerahka kepada PDRM dan SPRM untuk meneruskan siasatan.

Mengenai ketidakhadiran Azmin, beliau berkata: “Malah Azmin minta maaf kerana tidak dapat menghadirkan diri ke mesyuarat hari ini dan memberi ruang kepada pemimpin lain membincangkan dan saya sampaikan pandangannya dalam mesyuarat sebentar tadi.” – MalaysiaGazette