Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menjalankan siasatan secepat mungkin berhubung pengakuan bersumpah Haziq Aziz, individu yang mendakwa bersama seorang menteri kanan dalam video luar tabii yang tular semalam.

Ia bagi mengelakkan berlakunya kecelaruan terhadap pimpinan Kerajaan Persekutuan.

Ketua Pemuda Dewan Ikatan Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan berkata, siasatan juga harus dilakukan untuk membersihkan nama orang yang dituduh, berpegang kepada prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga diadili.

Menurutnya, kepimpinan Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan juga tidak sepatutnya mempunyai masalah moral supaya menjadi contoh teladan kepada rakyat.

“Seorang pemimpin sewajibnya bersih daripada salah laku moral dan jenayah. Pemimpin juga perlu menjaga akhlak dan adab, tidak kira di mana sahaja dan bila-bila masa. Menjadi pemimpin politik bukanlah seperti kerja pejabat yang terhad kepada aturan masa 8 pagi hingga 5 petang.

“Rakyat menilai perwatakan dan akhlak pemimpin setiap masa. Dakwaan terbuka yang dibuat mempunyai implikasi besar kepada akhlak dan adab pemimpin. Kecurangan kepada pasangan dan perbuatan luar tabii merupakan petanda kepada keruntuhan moral seseorang individu.

“Oleh yang demikian Ikatan menggesa siasatan dibuat secepat mungkin kerana dakwaan ini melibatkan dua individu penjawat awam, Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri dan seorang Menteri Kanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Shahir menambah, anak muda hari ini muak dan mual dengan serangan politik peribadi kotor seperti tahun 1998, walhal tahun hadapan negara menghampiri Wawasan 2020. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast