Tun Abdul Hamid Mohamad
Tun Abdul Hamid Mohamad

KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tommy Thomas didakwa telah melakukan kesilapan berhubung penarikan semula peguam yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi inkues kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Bekas ketua hakim negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, sebagai Pendakwa Raya, Tommy tidak boleh memihak kepada mana-mana pihak dalam kes tersebut kerana ia ia merupakan satu inkues untuk mencari sebab kematian Adib.

Dengan mengambil contoh terhadap inkues mendiang Teoh Beng Hock, peguam-peguam yang mewakili keluarganya memanggil seorang pakar forensik dari Thailand yang memberi keterangan yang bercanggah dengan keterangan pakar forensik yang yang dipanggil oleh Pendakwa Raya, katanya.

“Beliau mengambil pendirian bahawa pendakwa raya mewakili kerajaan Malaysia dalam inkues itu. Maka, peguam kementerian dan jabatan bomba hendaklah mengambil pendirian yang sama dengan pendirian pendakwa raya dan kerajaan Malaysia. Itu salah.

“Kehadiran pendakwa raya dalam inkues itu bukan untuk mewakili kerajaan Malaysia dan keterangan yang dibawa masuk oleh peguam kementerian dan jabatan bomba tidak semestinya sama dengan apa yang dibawa masuk oleh pendakwa raya. Kedua-duanya membantu mahkamah mencari sebab kematian Adib, bukan untuk menang kes,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, beliau mengakui, dalam pendakwaan (prosecution) pendirian kementerian adalah tertakluk kepada pendirian pendakwa raya.

Namun katanya, pendakwa raya tidak boleh memaksa kementerian menerima pendiriannya mengenai sesuatu keterangan dalam inkues kematian Adib dan tidak boleh
mengarahkan kementerian menarik balik pelantikan peguam yang dilantik oleh kementerian kerana peguam itu membawa masuk keterangan yang bercanggah dengan keterangan yang dibawa masuk oleh timbalan pendakwa raya.

“Saya tidak faham bagaimana mengambil pendirian yang berlainan daripada pendirian Pendakwa Raya “memalukan” Syazlin.

“Saya percaya perkataan “memalukan” itu adalah terjemahan daripada perkataan “embarrass”. Saya katakan, tidak ada embarrassment sebab dalam inkues itu Syazlin dan Pendakwa Raya sama-sama membantu mahkamah mencari sebab kematian Adib, bukan mewakili pihak yang berlainan dalam satu perbicaraan,” ujarnya.

Justeru kata beliau, Tommy perlu memahami peranan pendakwaraya dalam inkues tersebut dengan tidak menyebelahi mana-mana pihak serta mengemukakan keterangan yang ada padanya.

Tambahnya, peguam negara juga jangan cuba menghalang keterangan yang bercanggah dengannya dan perlu memberi kebenaran kepada kementerian untuk melantik Syazlin atau mana-mana peguam lain mewakili kementerian, jabatan bomba dan keluarga Adib.

“Dalam inkues, jangan mengambil pendirian menerima sesuatu keterangan dan menolak yang lainnya dan menghendaki Kementerian dan Jabatan Bomba mengambil pendirian yang sama.

“Jangan singkirkan Adib dan biarlah Koroner memperolehi semua keterangan yang berkenaan untuk membolehkannya membuat keputusan yang betul dan adil,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast