Muhammad Hilman Idham

KUALA LUMPUR – Muhammad Hilman Idham membuat laporan polis tengah hari ini, susulan laporan polis oleh Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mendakwa diugut olehnya, semalam.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Daerah Putrajaya pada pukul 12.30 tengah hari tadi.

Dalam satu kenyataan di sini, Hilman mengakui dia ada mengadakan pertemuan dengan Haziq di Zest Coffee House, Marriot Hotel, Putrajaya pada 11 Jun lalu.

Pertemuan tersebut atas kapasiti peribadi tanpa pengetahuan mana-mana pihak termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin.

Dalam pertemuan itu, Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu mendedahkan Haziq memaklumkan kepadanya bahawa dia telah menjadi mangsa permainan politik kotor untuk menjatuhkan Azmin.

“Beliau juga menyatakan bahawa video tersebut palsu dan menafikan beliau adalah karakter dalam video tersebut,” katanya.

Hilman menambah, dalam pertemuan itu Haziq meminta pandangan untuk bertemu keluarganya bagi mendapatkan pandangan.

“Saya bersetuju dan meminta beliau bersabar. Malah, saya menasihatkan beliau bahawa dalam menghadapi fitnah begini, keluarga adalah elemen penting yang harus dipelihara perasaan dan maruahnya,” katanya.

Sehubungan itu, Hilman menafikan sekeras-kerasnya telah melakukan ugutan ke atas Haziq dan menyifatkan laporan polis yang dibuat oleh lelaki itu adalah palsu. – MalaysiaGazette