KUALA LUMPUR- Malaysia boleh menjadikan perkhidmatan kesihatan di swasta dan Kementerian Kesihatan saling melengkapi antara satu sama lain bagi mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak.
Menurut seorang pegawai perubatan, Dr. Afiq Izzudin A Rahim, dalam ekonomi kesihatan, kenaikan caj di kemudahan swasta akan meningkatkan permintaan perkhidmatan di fasiliti kerajaan disebabkan oleh permintaan anjal bersilang (cross elasticity of demand).
Ini bermaksud sebarang perubahan pada permintaan sesuatu produk atau servis mempunyai hubungan langsung dengan perubahan harga barang atau perkhidmatan lain.
Jelasnya, di Malaysia perkhidmatan kesihatan swasta merupakan alternatif kepada perkhidmatan awam kerana kedua-duanya menyediakan perkhidmatan yang sama menyebabkan permintaan anjal bersilang menjadi positif.
“Oleh itu dalam kerangka ekonomi sebarang kenaikan caj kesihatan di (kemudahan) swasta akan mengurangkan permintaan kesihatan di sana dan meningkat beban perkhidmatan kepada fasiliti awam.
“Ini tidak memberikan situasi menang-menang,” katanya dalam ciapan di Twitternya.
Dr. Afiq yang merupakan seorang penggiat aktif media sosial dan ahli MedTweetMy dan Medical Mythbusters Malaysia menjelaskan, perkhidmatan yang saling melengkapi seperti yang berlaku di antara klinik kesihatan (KK) dan hospital kerajaan perlu diperluas kepada perkhidmatan kesihatan swasta.
“Semoga pandangan ini beri perspektif lain kepada pihak @DrDzul @azrin_omar @DGHisham dan @KKMPutrajaya dalam membuat keputusan yang win-win situation,” katanya lagi.
Sebelum ini, terdapat laporan media yang mengatakan hampir 70 peratus daripada 7,000 klinik swasta di seluruh negara didakwa “nyawa-nyawa ikan” ekoran peningkatan kenaikan harga ubat namun caj rawatan masih sama seperti 27 tahun lalu.
Malah menurut Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), 500 buah klinik swasta telah menutup operasi sejak tiga tahun lalu.- MalaysiaGazette