KUALA  TERENGGANU – Seorang lagi pesakit Orang Asli yang berasal dari Kampung Sungai Berua di Hulu Terengganu dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu di Kuala Berang Jumaat lepas kerana mengalami simptom jangkitan saluran pernafasan, menjadikan jumlah keseluruhan sembilan orang.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata, pesakit lelaki yang berusia 26 tahun itu ditahan wad ketika mendapatkan rawatan di hospital tersebut pada pukul 8.57 malam Jumaat lepas.

“Beliau telah mengalami demam sejak dua minggu lepas cuma tanda-tanda batuk ini mula dialaminya sejak tiga hari kebelakangan ini.

“Jadi, pesakit ini datang sendiri ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Ini adalah satu perkembangan yang baik di mana komuniti Orang Asli semakin prihatin dengan kesihatan mereka susulan apa yang sedang berlaku di Kuala Koh, Gua Musang,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sebelum ini tujuh pesakit Orang Asli berasal dari Kuala Koh, Gua Musang, dimasukkan ke hospital itu Rabu lepas kerana simptom jangkitan saluran pernafasan selain seorang lagi yang dimasukkan hospital sama kerana mengalami cirit-birit, sakit perut serta muntah dan sedang menerima rawatan sebagai pesakit Acute Gastroenteritis (AGE).

Kesemua mereka yang dimasukkan ke hospital itu berumur antara empat hingga 26 tahun dan terdiri daripada enam lelaki serta tiga perempuan.

Dr Mohd berkata kesemua mereka dipantau di wad yang berasingan bagi memudahkan petugas kesihatan memberi rawatan sewajarnya dan kesemua mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Terengganu membuat pemeriksaan terhadap 23 Orang Asli yang berasal dari Kuala Koh yang tinggal di Kampung Gerdong, Hulu Terengganu secara berperingkat iaitu tujuh orang yang telah lama menetap di kawasan itu manakala 16 lagi baru berpindah pada 8 Jun lalu.

Terengganu mempunyai empat perkampungan Orang Asli di tiga daerah negeri ini iaitu dua di Hulu Terengganu selain Besut dan Kemaman. – MalaysiaGazette