KUALA LUMPUR – Kontroversi dua pelakon sensasi, Erra Fazira dan Datin Seri Umie Aida kembali panas selepas dikatakan kembali pulih kelmarin.
Ini kerana, komen balas Umie kepada seorang pengikut Instagram (IG) yang menimbulkan pelbagai tafsiran.
“Saya sudah memaafkan tapi tak mampu berkawan semula… Maaf,” tulis Umie sebentar tadi.
Luahan itu seolah menunjukkan dua sahabat baik ini belum pulih biarpun masing-masing sudah bersemuka dengan Erra memohon maaf atas kesilapannya.
Kelmarin, drama perselisihan faham dua bintang jelita ini sampai ke kemuncak apabila Erra membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Umie.
Ketika permohonan maaf itu dibuat, mereka difahamkan bertemu di kediaman isteri Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan itu.
Perjumpaan itu sebagai jalan penyelesaian mereka mahu meleraikan kekusutan serta enggan lagi memanjangkan cerita.
Video pertemuan itu dikongsi Umie melalui IG Story, semalam.
“Semua salahkan saya kerana tak maafkan dia (Erra)… Ya Allah.
“Sekian terima kasih dan harap netizen tidak bercakap mengenai isu ini lagi. Semoga kita semua di dalam rahmat-Nya… Amin,” tulis Umie.
Sehingga hari ini, Erra masih mengunci mulut daripada berkongsi cerita sebenar antara mereka.
Malah, Erra menutup ruang komen di laman sosial bagi mengelak perbalahan dalam kalangan pengikut. – MalaysiaGazette