Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Lim Kit Siang mengakui video seks Haziq Abdullah Abdul Aziz merupakan cabaran terbesar bagi Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, sejak empat hari ini negara telah dihantui dengan video seks Haziq membabitkan seorang menteri itu berpotensi memusnahkan PH.

Sehubungan itu, beliau menyeru pemimpin PH terus bersatu dan tidak menggagalkan agenda Malaysia Baharu.

Katanya, jangan jadikan penyebaran video seks Haziq dengan seorang lelaki mirip menteri kanan itu memusnahkan misi ‘Menyelamatkan Malaysia’ daripada menjadi sebuah negara kleptokrasi.

Jelasnya, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador telah meminta masa untuk membolehkan pasukannya menyiasat mengenai kebenaran mengenai video berkenaan.

“Rakyat Malaysia mesti mempercayai polis dalam melaksanakan tugas secara bebas, adil dengan cara yang boleh dipercayai untuk menyiasat video seks Haziq dan dalang di sebalik video Haziq walaupun pernah terdapat keraguan tentang peranan polis di bawah pimpinan ketua polis negara sebelumnya.

“Inilah sebabnya saya menyokong prinsip penting mesti ditubuhkan semula bahawa tiada seorang pun di Malaysia berada di atas undang-undang, sama ada Perdana Menteri, Menteri Kabinet, Peguam Negara, Ketua Polis Negara atau pegawai tinggi kerajaan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Veteran DAP itu menambah, semua pemimpin PH mesti sedar akan cabaran pada tahun kedua kerajaan PH untuk menjadi lebih berjaya berbanding tahun pertama untuk menjanjikan pelbagai janji Malaysia Baharu.