Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berucap pada forum 'Talking Drugs, Time to Reform' di Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 17 JUN 2019

KUALA LUMPUR- Kertas cadangan model nyah diskriminasi penggunaan dadah berbahaya akan dilancarkan kepada umum pada 26 Jun ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, cadangan untuk menjadikan penyalahgunaan dadah sebagai bukan kesalahan jenayah memerlukan kerjasama daripada semua pihak.

Antara yang dicadangkan adalah pengunaan ubat jenis naltrexone – dadah jenis baharu yang mampu merawat pelbagai ketagihan.

Kerajaan sebelum ini membenarkan penggunaan methadone untuk merawat ketagihan dadah.

Sebagai projek perintis, sebanyak tiga buah masjid di Pulau Pinang telah dipilih untuk menjadi klinik rawatan naltrexone, katanya.

“Ia menggunakan konsep yang sama seperti projek yang dilaksanakan di Masjid Ar-Rahman dekat Bangsar iaitu menjadi klinik rawatan ketagihan menggunakan methadone.

“Tetapi kali ini kita akan menggunakan naltrexone dan masjid-masjid di Permatang Pauh itu boleh dijadikan pusat kajian global kerana menjadi masjid pertama di dunia yang menyediakan rawatan naltrexone,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Reformasi Dadah, Hukuman Mati dan Hak Asasi di sini hari ini.

Nurul Izzah juga mahu pelaksanaan projek tersebut dilakukan mengikut prosedur yang betul.

Dengan itu, beliau telah mengadakan rundingan dengan pihak-pihak berkaitan seperti Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kesihatan.

“Ianya tidak mudah disebabkan itu saya katakan tadi, ianya memerlukan kerjasama di antara kementerian-kementerian.

“Saya harap inisiatif ini mendapat sokongan daripada semua pihak terutama pembuat-pembuat dasar.

“Perlu diingat, cadangan ini pernah dipersetujui oleh kerajaan Barisan Nasional dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya lagi.

Turut terlibat dalam penyediaan kertas cadangan tersebut adalah Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman. -MalaysiaGazette