KUALA LUMPUR – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) tidak pernah bersubahat dengan mana-mana pihak dalam kes-kes penipuan pinjaman melalui potongan gaji.

Ini kerana, tugas Angkasa adalah menguruskan pembayaran balik pinjaman termasuk membantu penjawat awam membayar caruman insurans bulanan, pelaburan, bayaran yuran, simpanan dan sumbangan.

Potongan berkenaan pula dibuat melalui persetujuan individu sendiri dan disahkan oleh majikan peminjam.

Angkasa berkata, sepatutnya isu dan pertikaian penyata gaji palsu dan jumlah potongan bulanan tidak lagi timbul memandangkan ia mempunyai standard prosedur yang ketat dalam menangani penipuan sama ada melibatkan peminjam atau pemberi pinjaman.

Malah, urusan perkhidmatan potongan gaji angkasa dipantau oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Jabatan Akauntan Negara.

Angkasa juga telah memperkenalkan sistem pelaporan kredit – SPekAR pada tahun 2012. Melalui laporan sistem ini, had kemampuan berhutang boleh ditentukan dan isu penipuan slip gaji boleh dikesan dari awal.

“Angkasa juga sudah memperkenalkan MyANGKASA AzZahra iaitu sistem pemerosesan permohonan pinjaman atas talian yang akan menghadkan peranan orang tengah.

“AzZahra akan memastikan jumlah faedah dan fi yang dikenakan serta jumlah pinjaman yang sepatutnya diterima oleh peminjam sama sebagaimana dinyatakan semasa permohonan dibuat,” katanya sambil menambah kedua-dua itu adalah pilihan kepada koperasi kerana Angkasa tidak boleh menguatkuasakannya.

Menurutnya, berhubung aduan terbaharu mengenai Koperasi Konsumer Malaysia Berhad (KKMB) diterima dari Nash Associate pada 24 Mei lalu, satu surat memohon penjelasan telah dihantar kepada KKMB dan diberi tempoh sebulan untuk menjawab. – MalaysiaGazette