KUALA LUMPUR – Malaysia antara ekonomi Asia Timur sedang pesat membangun yang menyaksikan pasaran bon mata wang tempatan terus berkembang pada suku pertama 2019, walaupun terdapat konflik perdagangan dan pertumbuhan global yang sederhana, menurut Bank Pembangunan Asia (ADB).

Dalam terbitan terkini laporan suku tahunan Asia Bond Monitor – June 2019 yang dikeluarkan hari ini, ADB berkata jumlah terkumpul bon mata wang tempatan Malaysia sebanyak US$353.0 bilion pada akhir Mac 2019, mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun 7.6 peratus berbanding suku pertama 2018.

“Pertumbuhan sebahagian besarnya daripada bon kerajaan, terutamanya bon kerajaan pusat berikutan terbitannya meningkat pada suku pertama 2019, manakala bon korporat turut menyumbang kepada pertumbuhan positif, tetapi dalam skala yang lebih kecil,” katanya.

Menurut laporan itu, saiz pasaran bon kerajaan Malaysia sebanyak US$188.0 bilion pada akhir Mac, meningkat 8.7 peratus tahun ke tahun dalam mata wang tempatan, didorong sebahagian besarnya oleh peningkatan bon kerajaan pusat.

“Pasaran bon korporat menyaksikan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 6.4 peratus pada suku pertama kepada US$165.0 bilion,” katanya.

Laporan itu turut menekankan pasaran (bon Islam) sukuk Malaysia kekal yang terbesar di Asia Timur sedang pesat membangun, apabila 61.0 peratus daripada jumlah terkumpul bon mata wang tempatan, terdiri daripada sukuk.

“Di Malaysia, sebanyak 47.0 peratus daripada semua bon kerajaan berstruktur mengikut prinsip Islam, manakala 76.9 peratus daripada bon korporat adalah sukuk,” katanya.

Ekonomi Asia Timur sedang pesat membangun terdiri daripada China, Hong Kong, Indonesia, Korea Selatan, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. – MalaysiaGazette