Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin diiringi Pengerusi Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal bergambar kenangan bersama para pemenang Kempen Kita-kita Aje pada Majlis Korporat Raya Agrobank di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 JUN 2019.

SERDANG- Agrobank bakal melancarkan beberapa produk baharu sejajar dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan produktiviti pertanian di negara ini terutama yang melibatkan penanaman padi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Alwi Mohamed Sultan berkata, Agrobank memang terlibat di dalam kumpulan kerja yang merangka struktur baharu industri pertanian di Malaysia dan sentiasa memberikan input-input terkini kepada kerajaan.

“Usaha ini (meningkatkan produktiviti penanaman padi) membolehkan usahawan-usahawan tani muda dan syarikat yang terlibat di dalam agri-teknologi untuk menceburi bidang industri padi.

“Ini penting kerana apa yang kita lihat adalah produktiviti buruh adalah sangat rendah malah terendah berbanding industri-industri lain.

“Jadi ini cara untuk meningkatkan produktiviti di samping menaikkan taraf hidup pesawah.

“Agrobank sangat2 terlibat agri pembiayaan diberikan kepada pesawah-pesawah dan syarikat-syarikat yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Aidilfitri Korporat Agrobank di sini hari ini.

Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang bermesyuarat baru-baru ini memutuskan untuk memberi fokus meningkatkan pendapatan pesawah di negara ini melalui pelbagai kaedah.

Antara yang dicadangkan adalah dengan melakukan konsolidasi ke atas kawasan penanaman padi yang ketika ini diusahakan secara kecil-kecilan oleh pesawah.

Selain itu, kerajaan turut berhasrat untuk memperkenalkan kaedah baharu penanaman padi dan pembajaan.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai impak penurunan kadar faedah semalaman (OPR) yang diumumkan Bank Negara Malaysia bulan lepas, Syed Alwi berkata, kesan terhadap keuntungan bank masih belum ketara kerana pelaksanaannya masih terlalu baharu.

Bagaimanapun, beliau yang menyokong usaha bank pusat itu untuk merangsang ekonomi domestik menerusi pengurangan kadar faedah turut mencari jalan lain supaya jumlah pendeposit di Agrobank tidak menurun.

“Bank Negara menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata peratusan tetapi kami hanya menurunkan kadar faedah untuk deposit sebanyak 15 sehingga 20 peratus sahaja.

“Kami tidak menurunkan kadar faedah terlalu banyak untuk deposit kerana mahu memberikan keuntungan kepada pendeposit-pendeposit dan tidak mahu menyusahkan mereka.

“Tetapi bagi peminjam pula, kami telah menurunkan kadar asas pembiayaan sebanyak 25 mata peratusan sejajar dengan arahan Bank Negara bagi membolehkan mereka membayar pinjaman dengan lebih rendah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette