Karim Ibrahim
KUALA LUMPUR – Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim menyatakan jika Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bertanding untuk jawatan tertinggi itu, beliau mungkin tidak mempertahankan jawatannya.
Namun disebabkan bekas presiden itu memilih untuk bertanding jawatan timbalan presiden, Karim bertegas untuk mempertahankan jawatannya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk sukan itu pada 30 Jun ini.
“Saya dan Datuk Seri Shahidan memang rakan baik dan saya pernah berkhidmat di bawahnya ketika beliau menjadi presiden. Saya pernah menyatakan kepadanya dulu, jika beliau mahu kembali menjadi presiden, saya rela melepaskan jawatan. Sekiranya beliau bertanding, saya mungkin fikir dua kali untuk bertanding,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabat KOM di sini, hari ini.
Karim, 63, yang menduduki kerusi nombor satu KOM sejak 2014 dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam arena olahraga tanah air, bakal dicabar timbalannya, yang juga merupakan Presiden Persatuan Olahraga Selangor, Datuk S M Muthu.
Sementara itu, Shahidan bakal mencabar naib presiden, yang juga bekas ratu trek kebangsaan, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar dalam pertandingan satu lawan satu bagi jawatan Timbalan Presiden KOM.
Antara perkara dijanjikan Karim ialah membentuk hala tuju sukan olahraga di semua peringkat untuk pembangunan jangka panjang serta meningkatkan promosi dan kesedaran mengenai sukan itu sehingga ke peringkat akar umbi.
Selain itu, beliau menjanjikan penganjuran lebih banyak pertandingan di pelbagai peringkat, meningkatkan kursus kejurulatihan dan memastikan kebajikan atlet sentiasa terjaga.
Beliau juga menyasarkan skuad olahraga negara meraih sekurang-kurangnya sebutir pingat pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, Zhejiang, China, dan muncul juara keseluruhan acara olahraga pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.-BERNAMA