KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, beliau tidak ada masalah untuk menyerahkan semula tugas presiden yang diamanahkan kepadanya jika Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hendak kembali mengetuai parti.
Katanya, sejak presiden itu mengambil keputusan berehat pada Disember tahun lalu, beliau telah menjalankan tugas mengikut matlamat parti dengan dibantu tiga Naib Presiden.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, sekiranya Ahmad Zahid hendak menamatkan cutinya dan memegang semula jawatan presiden, beliau tidak ada sekatan untuk itu.
“Setakat ini saya tidak menerima apa-apa makluman dari presiden termasuk khabar angin kononnya Ahmad Zahid akan meletakkan jawatan.
“Tidak timbul soal dia mahu letak jawatan atau apa.. dan tidak ada arahan untuk saya terus menjalankan tugas-tugas presiden.
“Sayakan sepenuhnya kepada presiden. Kalau dia mahu (tugas presiden) esok pun, saya akan serahkan. Tidak ada masalah,” katanya kepada media pada Muktamar Tahunan Pas ke-65 di Kuantan, hari ini.
Mengenai cadangan pindaan Perlembagaan UMNO, Mohamad berkata, pindaan itu tidak melibatkan usaha atau hasrat hendak menyingkirkan mana-mana pemimpin, terutama yang berdepan dengan pendakwaan di mahkamah.
Katanya, tujuan cadangan pindaan itu adalah untuk memudahkan urusan pendaftaran iaitu memberi ruang kepada ahli baharu menyertai UMNO.
“Jika ada cadangan pindaan hendak menyingkirkan pemimpin yang didakwa di mahkamah, ia hanya cukup dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
Semalam, Ahli MT UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dilaporkan mendakwa, Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berniat tidak baik dengan mengemukakan cadangan fasal baharu dalam Perlembagaan UMNO bagi memastikan sesiapa yang bersalah di bawah pertuduhan rasuah atau jenayah kehilangan keahlian setelah merayu di peringkat tertinggi.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa pula menjelaskan, MT UMNO akan mencadangkan satu usul bagi meminda beberapa fasal perlembagaan parti itu.
Pindaan yang bertujuan memperkemaskan lagi UMNO sesuai dengan tuntutan semasa itu akan dilakukan melalui Perhimpunan Agung Khas yang akan diadakan pada November ini.
Bagaimanapun, katanya, proses itu masih di peringkat awal iaitu mengutip pandangan dan syor akar umbi dan sayap sayap parti oleh jawatankuasa yang dipengerusikan oleh salah seorang Naib Presiden parti. – MalaysiaGazette