Tidak lebih 80 aksara, itulah panjang maksimum yang dibenarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada ibu bapa yang hendak mendaftarkan nama anak yang baru dilahirkan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini menafikan surat permohonan kewarganegaraan yang tular di laman sosial sebagai sokongan atau kelulusan daripada Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin bagi tujuan berkenaan.

JPN dalam satu kenyataan memaklumkan surat berkenaan adalah prosedur biasa di jabatan itu dan pejabat Menteri Dalam Negeri sebelum dokumen terbabit dipanjangkan kepada agensi dan bahagian berkaitan untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, Pejabat Menteri Dalam Negeri dan JPN menerima banyak surat permohonan kewarganegaraan serta pelbagai pertanyaan mengenai status terkini permohonan kewarganegaraan.

“Surat ditularkan itu bukan sebagai sokongan ataupun kelulusan oleh Menteri Dalam Negeri terhadap sesuatu permohonan kewarganegaraan.

JPN itu turut menegaskan permohonan kewarganegaraan yang diterima jabatan itu dan pejabat Menteri Dalam Negeri bukan hanya tertumpu kepada satu kaum tertentu sahaja, malah daripada pelbagai kaum di negara ini.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan rekod JPN, bagi tempoh 10 Mei 2018 sehingga 30 Mei lepas, sebanyak 8,322 permohonan kewarganegaraan diterima dari pelbagai latar belakang kaum dan daripada jumlah tersebut, hanya lima pemohon sahaja dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia.

Untuk rekod, bagi tempoh yang sama juga, sejumlah 3,126 pemohon juga diberikan kewarganegaraan, dengan permohonan itu adalah dari tahun sebelumnya, katanya. – MalaysiaGazette