Dr. Amini Amir Abdullah
Dr. Amini Amir Abdullah

KUALA LUMPUR – Video pendidikan seks untuk kanak-kanak yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail semalam, disifatkan sebagai janggal dan pincang.

Ini berikutan lima video pendek dalam bentuk kartun itu menonjolkan elemen gangguan seksual, bukan pendidikan seks.

Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Dr. Amini Amir Abdullah berkata, gangguan seksual dan pendidikan seks dua perkara berbeza.

Katanya, apa yang dipaparkan dan tema utama semua video klip anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu berbentuk gangguan seksual.

“Kita juga meneliti video klip kedua bertajuk “Video Pendidikan Seks Yang Pertama” berdurasi  1 minit 10 saat yang diterbitkan pada 25 Jun lalu memaparkan watak utama ialah Mei Ling, Lily dan Nur.

“Terdapat seorang lelaki tidak dikenali menunjukkan kemaluannya kepada mereka kumpulan kanak-kanak itu, apabila diadukan kepada ibu Lily, dia menelefon polis dan orang itu telah ditangkap

“Terdapat juga ungkapan yang diketengahkan, “Ingat! jika ada sesiapa menunjukkan kemaluan kepada adik-adik: jerit, lari, beritahu”. Klip video ini juga jelas menerangkan hakikat gangguan seksual, bukan pendidikan seks,” katanya di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, semua video itu menerangkan tindakan yang perlu diambil oleh kanak-kanak sekiranya berlaku gangguan seksual terhadap mereka.

“Di manakah nilai pendidikan seksnya? Berapa banyakkah kes gangguan seksual dalam kalangan kanak-kanak hinggakan klip video ini dipromosikan begitu rupa?

“Siapakah di belakang Nice TV Official yang terlibat dalam pembikinan klip video ini?” soal beliau.

Dr. Amini Amir yang juga Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam (BIHALIM) Perkasa berkata, apakah justifikasi penerbitan klip video itu yang menumpukan kepada kelompok kanak-kanak.

Sedangkan, katanya, data KPWKM menunjukkan sembilan peratus pelajar kelas peralihan terbabit dalam hubungan seks bebas dalam negara ini.

“Masalah utama gejala sosial berpunca daripada kejahilan dan kurangnya didikan agama.

“Lebih mengejutkan kajian KPWKM menunjukkan 7.3 peratus pelajar berumur 13 hingga 17 tahun mempunyai pengalaman seks.

“Golongan sasaran pendidikan seks sepatutnya difokuskan kepada kelompok ini, bukan kanak kanak,” ujarnya.

Sehubungan itu, Perkasa menggesa agar diperkasakan peranan kaunselor di sekolah dan para intelektual serta agamawan.

Kata beliau, peranan guru sekolah dalam konteks pendidikan seks secara Islam, pendidikan kesihatan, reproduksi dan sosial juga perlu diperkukuhkan.

Masalah guru yang tidak bersedia dan kurang latihan perlu diatasi segera, manakala ibu bapa pula perlu lebih peka dan prihatin terhadap pendidikan anak-anak dalam penggunaan internet, komputer dan telefon bimbit.

“Perlu ada pemantauan yang lebih tegas terhadap penggunaan internet, komputer dan telefon bimbit,” katanya. – MalaysiaGazette