BANGI – Pas hari ini ‘memulang paku buah keras’ kepada PKR berhubung cabaran parti itu yang menggesa Pas dan UMNO menyerahkan lima kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri dan exco di negeri dikuasai sebagai bukti keikhlasan kerjasama kedua-dua parti pembangkang berkenaan.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, Pas tidak perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada PKR berhubung sebarang perkara yang melibatkan UMNO.

Ini kerana katanya, PKR sendiri sedang bergelut dengan pelbagai isu dalaman termasuk kes penyebaran video seks melibatkan pemimpin parti berkenaan yang sehingga kini belum terungkai.

“PKR selesaikan dulu urusan dalaman mereka, isu video tak selesai lagi, biarkan urusan UMNO dan Pas ini diselesaikan oleh kami.

“Kami rasakan kami tak perlukan khidmat nasihat daripada PKR, terima kasih di atas pandangan.

“Itu kita akan bincang dan kita akan ambil apa tindakan yang perlu untuk memperkasakan rancangan untuk Perpaduan Ummah kita ini, terima kasihlah kepada PKR,” katanya pada sidang media pada Majlis Sambutan Hari Raya Perpaduan Ummah anjuran bersama Pas dan UMNO Bangi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail semalam berhubung perkara tersebut seperti dilapor beberapa media tempatan.

Azan dilapor berkata, kegagalan melaksanakan tanggungjawab itu menjadi bukti bahawa UMNO-Pas hanya bersandiwara kepada penyokong dan seluruh rakyat Malaysia dengan permainan politik mereka bahkan bukan berusaha murni ke arah ta’awun seperti yang dijanjikan.

Mengulas lanjut, Kamaruzaman berkata, Pas mengambil konsep perjuangan yang mudah apabila menyatakan gabungan pembangkang yang ada bekerja siang dan malam untuk menjatuhkan kerajaan yang ada.

Katanya, perkara itulah yang dilaung-laungkan kepada perwakilan Pas pada muktamar yang diadakan baru-baru ini.

“Jadi, seruan itu dibuat kepada para perwakilan supaya bekerja sebaik mungkin untuk menjatuhkan kerajaan yang ada.

“Memang sesuailah, takkan kami nak seru supaya kekalkan Pakatan Harapan (PH), saya rasa seruan ini juga buat rakyat Malaysia di atas segala masalah yang ditimbulkan oleh kerajaan PH hari ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kamaruzaman mendakwa, kerajaan hari ini dilihat dengan jelas tidak mendokong aspirasi nasional dan disebabkan itu ia wajib ditumbangkan pada pilihan raya umum yang akan datang.

“Kami bersedia 25 jam sehari lapan hari seminggu panggil kami dan kami sedia berdialog pada bila-bila masa dan oleh sesiapa saja nak tetapkan tempat, siapa panel di sebelah sana, InsyaAllah kami akan hadir,” tegasnya. – MalaysiaGazette