Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Pemberian nombor pendaftaran istimewa untuk kenderaan khas seperti kenderaan kerabat raja adalah berdasarkan kepada peraturan yang ditetapkan oleh Menteri Pengangkutan.

Kementerian Pengangkutan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini memaklumkan, nombor pendaftaran istimewa diperkenalkan selaras dengan Kaedah 5A, Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pendaftaran dan Pelesenan) 1959.

“Maka pemberian nombor pendaftaran istimewa ini adalah berdasarkan kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Menteri,” katanya dalam jawapan bertulis pertanyaan lisan.

Malah tambah beliau, untuk makluman, Akta Pengangkutan Jalan (1987) (Akta 333) memperuntukkan kuasa untuk mewujud, menetapkan, memperuntukkan dan mengenakan fi (bayaran) ke atas nombor pendaftaran sesuatu kenderaan kepada Menteri atau Pengarah bagi Pengangkutan Jalan yang dilantik di bawah Seksyen 3 akta tersebut.

“Seksyen 11 APJ 1987 menetapkan bahawa semua kenderaan yang telah didaftarkan perlu diuntukkan satu tanda indeks (yang disebut sebagai nombor pendaftaran) bagi menunjukkan kawasan kenderaan difartarkan.

“Pengarah pula boleh menetapkan kadar bayaran fi bagi nombor pendaftaran yang telah diuntukkan kepada kenderaan tersebut.

“Selaras dengan APJ 1987, Kaedah 5 dalam kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pendaftaran dan Perlesenan) 1959, telah menetapkan peraturan dan prosedur mengenai penguntukkan nombor pendaftaran,” katanya dalam kenyataan.

Dalam hubungan ini, kata kementerian tersebut, nombor pendaftaran hendaklah dibuat mengikut kepada kawasan sesuatu kenderaan didaftarkan sama ada di Semenanjung atau negeri dan bahagian di Sabah dan Sarawak.

Jawapan Kementerian Pengangkutan menyusul secara bertulis selepas Ahli Parlimen DAP-PH Labis Pang Hok Liong meminta Menteri berkaitan menyatakan sama ada nombor plat TMJ dan RZ yang merujuk kepada kerabat diraja Johor telah didaftarkan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan sebagai pendaftaran kenderaan yang sah oleh mana-mana pihak dan sama ada kenderaan terbabit dibenarkan di atas jalan raya.- MalaysiaGazette