PORTO ALEGRE, Brazil – Juara bertahan Copa America, Chile sedia melakar sejarah ketika berhadapan dengan Peru pada perlawanan separuh akhir Copa America, esok.

“Kami mahu meninggalkan legasi sebagai juara tiga kali (berturut-turut), itu impian kami.

“Kami mahu mempamerkan aksi terbaik dalam Copa (America) ke atas Peru. Ia akan menjadi sejarah kepada kami untuk mara ke final,” kata pemain tengah Chile, Arturo Vidal.

Chile mengidam menjadi juara Copa America tiga kali berturut turut dan sasarannya semakin hampir dicapai selepas menewaskan Colombia 5-4 menerusi penentuan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada suku akhir.

Peru juga melalui jalan cerita yang sama apabila menang 5-4 ke atas Uruguay menerusi penentuan penalti setelah kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol.

Chile menjulang trofi Copa America pada 2015 dan 2016 san setakat ini hanya Argentina bergelar juara Copa Amderica tiga kali berturut-turut iaitu pada 1945 hingga 1947.

Sekiranya menang ke atas Peru esok, Chile akan berhadapan Brazil yang telah menempah tikrt perlawanan akhir apabila menang 2-0 ke atas Argentina hari ini. – Agensi