Foto: Selangor FC

KUALA LUMPUR – Pasukan Selangor FC memulakan kempen kejohanan sulung Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) dengan seri 1-1 menentang wakil Thailand, Muangthong United FC dalam saingan kumpulan H hari ini.

Turun bertandang ke tempat lawan di Stadium Rajamangala di Bangkok, nyata tidak sedikit pun menggusarkan Selangor yang dibarisi kesebelasan terkuat dijanjikan pengendali skuad Mohd Nidzam Jamil dalam misi melangkah jauh pada saingan peringkat Asia itu.

Selangor bertahan dengan cukup baik pada babak pertama sehingga membuatkan jentera serangan Muangthong United buntu mencari jalan merobek gawang dikawal Azim Al-Amin.

Dua minit selepas babak kedua bermula, Ronnie Fernández menghasilkan jaringan buat Gergasi Merah.

Tekanan hebat selepas gol Fernandez mencetus kebangkitan Muangthong United untuk menyamakan kedudukan menerusi Purachet Thodsanit pada minit ke-54.

Selangor akan meneruskan kempen kejohanan menentang wakil Filipina, Cebu FC bagi saingan kedua peringkat kumpulan pada 3 Oktober ini. – Bernama