Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri bercakap pada sidang media ketika hadir Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 03 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli UMNO yang tidak berpuas hati dengan tindakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid  kembali bertugas sebagai presiden parti boleh menentukan nasibnya pada pemilihan parti nanti.

Naib Presiden UMNO,  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kemunculan semula Ahli Parlimen Bagan Datuk itu selepas tempoh berehat tidak seharusnya menjadi isu dan pertikaian dalam kalangan ahli dan pemimpin parti itu.

“Kepulangan beliau (Ahmad Zahid) ke parti tidak sepatutnya menjadi soal kerana beliau dipilih secara proses demokrasi pada pemilihan UMNO Julai tahun lalu.

“Kedudukannya dalam parti sudah ditentukan menerusi pemilihan UMNO dan kita perlu menerima dan akur dengan keputusan itu,” kata beliau kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Jika tidak berpuashati dengan kemunculan semula Ahmad Zahid, katanya, mereka boleh menunjukkan pendirian masing masing menerusi pemilihan parti akan datang.

“Kalau kamu tidak berpuas hati, parti UMNO kita ada perlembagaan yang memperuntukkan bahawa akan ada pemilihan parti setiap tiga tahun.

“Maka kamu boleh menentukan pendirian masing-masing dan memutuskan nasib dan kedudukan Zahid nanti,” ujarnya lagi.

Ahmad Zahid dalam satu majlis sambutan Aidilfitri pada Ahad lalu di Perak mengumumkan bahawa beliau akan kembali meneruskan tugasnya sebagai Presiden UMNO selepas enam bulan berehat.

Keputusan beliau menyusul setahun selepas dia dipilih sebagai pemimpin nombor satu parti keramat Melayu berusia 73 tahun itu.

Mengulas lanjut dalam perkara sama, Ahli Parlimen Bera itu juga berkata, ahli-ahli dan pimpinan tertinggi UMNO sepatutnya memberi fokus kepada usaha pengukuhan parti dan isu dan yang sedang membelenggu rakyat jelata khususnya warga miskin tegar.

“Daripada bergaduh isu Zahid kembali ke parti serta kedudukan jawatan dalam parti, saya rasa baik fokus kepada isu permasalahan rakyat dan pengukuhan UMNO.

Menurutnya, perkukuhkan parti dan masalah rakyat harus jadi agenda kita bukan ‘siapa gaduh, siapa harus jadi presiden UMNO’ sambil melontarkan amaran berkemungkinan berlaku perpecahan dalam parti jika semua ahli tidak berdiri teguh belakang Ahmad Zahid.- MalaysiaGazette