KUALA LUMPUR – Rumah asuhan di Batu Gajah, Perak yang berlakunya insiden kanak-kanak berusia empat tahun dirogol oleh anak pengasuh itu akan ditutup.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, hasil siasatan juga mendapati rumah asuhan itu tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Malah, rumah asuhan itu juga merupakan bukan berstatus Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska).
“Rumah asuhan itu sebenarnya tidak berdaftar dengan JKM dan ia bukan berstatus Taska..ia tetap perlu berdaftar dengan JKM kerana ia menjaga lebih daripada empat orang kanak-kanak.
“Polis sedang melakukan siasatan mendalam tentang kejadian yang menimpa kanak-kanak malang itu.Ru
‘Manakala pegawai JKM kami sudah dihantar ke rumah asuhan itu bagi meneliti kaedah terbaik menjaga mangsa serta kanak kanak lain yang masih ada dalam jagaan di premis itu,” kata Wan Azizah ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Siasatan terperinci mendapati pemilik rumah asuhan itu menjaga lapan orang kanak-kanak dan kementerian dalam proses tindakan menutup premis berkenaan.
Ditanya mengenai langkah lanjut bagi mengelak kejadian seumpama tidak berulang kepada kanak-kanak lain pada masa akan datang, Ahli Parlimen Pandan itu juga menjelaskan penguatkuasaan daripada segi pemantauan akan dikuatkuasakan segera.
Menurutnya, langkah ituĀ bagi mengesan rumah asuhan yang masih tidak berdaftar dan beroperasi secara haram dalam usaha menjamin keselamatan kanak-kanak.
Semalam media melaporkan eorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditahan polis membantu siasatan selepas disyaki merogol seorang kanak-kanak berusia empat tahun di kediamannya di Batu Gajah.
Murid tahun enam itu menerusi siasatan lanjut polis dipercayai terpengaruh dengan filem lucah menerusi telefon bimbit dan merogol mangsa yang sama sebanyak tiga kali sejak bulan Ramadan lalu.
Suspek dipercayai mengaku melakukan perbuatan tersebut semasa dalam siasatan polis selepas ibu mangsa membuat laporan polis.
Laporan itu dibuat setelah doktor yang memeriksa anak perempuannya mendapati terdapat kesan koyakan pada bahagian sulit mangsa.
Pada masa yang sama Wan Azizah mengakui adalah sukar untuk kerajaan mengesan rumah asuhan yang tidak berdaftar dan beroperasi secara haram tanpa maklumat terperinci.
“Di Putrajaya sahaja terdapat 26 pusat asuhan berdaftar dengan JKM namun kita memerlukan penguatkuasaan yang lebih tegas dan ketat.
“Pun begitu agak sukar untuk kita menjejaki rumah asuhan yang haram,” ujarnya lagi.
Wan Azizah juga menggesa ibu bapa memantau anak-anak yang menggunakan telefon bimbit.
“Janganlah membiarkan mereka menggunakannya tanpa sebarang kawalan pada Internet,” tegasĀ beliau.- MalaysiaGazette