Pelakon dan usahawan Fazura. Foto MOHD ADZLAN, 25 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Syarikat pengilang tudung, Obor Holdings Sdn. Bhd., mendakwa Pink Fate Sdn. Bhd. milik pelakon terkenal Fazura berhutang hampir RM4.65 juta.

Pengasas dan Pengarah Urusan syarikat itu, Lim Boon Hai atau lebih dikenali sebagai Sam berkata, pihaknya nekad untuk mendapatkan semula wang tersebut dengan memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, April lalu.

Tambah beliau, notis juga sudah dihantar kepada syarikat milik selebriti berkenaan namun tidak mendapat sebarang maklum balas.

“Sejak hujung 2023, memang sukar untuk mendapatkan bayaran hutang daripada pihak mereka.

“Kami sudah mencuba pelbagai cara untuk berhubung dengan pihak sana (Fazura) tetapi tidak mendapat kerjasama baik sedangkan tujuan utama kami hanyalah mendapatkan baki bayaran yang tertunggak.

“Akibat daripada kes hutang ini, kewangan syarikat (Obor dan Feline) terjejas teruk,” katanya seperti yang dilaporkan sebuah portal berita.

Menurut Sam, lebih mengecewakan cek berjumlah RM1 juta yang ditandatangani bersama Fazura bertarikh 3 September 2024 adalah cek tendang.

“Betul. Pihak saya menerima cek tendang berjumlah RM1 juta daripada pihak sana. Memang tak sangka benda ini berlaku,

“Kami ada maklumkan perkara ini supaya menggunakan alternatif lain untuk membuat pembayaran segera kerana ia adalah cek tendang tapi tidak dilayan,” katanya.

Sam berkata, semua transaksi itu berlaku ketika Fazura masih menjadi pengarah sebelum beliau meletakkan jawatan di Pink Fate pada Januari lalu.

Bagaimanapun, abangnya Ahmad Faiz Sharifuddin masih kekal sebagai pengarah.

Terdahulu sebuah portal media melaporkan Obor Holding Sdn Bhd, pemilik Feline Malaysia, mendakwa Pink Fate Sdn Bhd yang diketahui umum diasaskan bersama oleh Fazura dibekalkan dengan tudung bernilai RM7,330,197.04 sejak Jun 2022.

Namun, Pink Fate hanya membuat bayaran sebanyak RM2,680,167.90, menyebabkan baki tertunggak berjumlah RM4.65 juta yang masih belum dijelaskan kepada Feline.

Obor Holding turut mendakwa mereka menghadapi kesukaran untuk mengutip bayaran tersebut sejak Disember 2023.

Selain Pink Fate sebagai defendan pertama, dokumen saman itu turut menamakan Fazfit Sdn Bhd sebagai defendan kedua, abang Fazura iaitu Ahmad Faiz Sharifuddin sebagai defendan ketiga, dan Fazura sendiri sebagai defendan keempat.

Melalui penyataan tuntutan yang diperoleh, hutang RM4.65 juta itu termasuk lima pesanan tambahan yang dibuat pada Jun dan September 2024 berjumlah RM3.6 juta, meskipun hutang terdahulu masih belum dilunaskan pada ketika itu.

Selain itu, dokumen itu menyatakan Faiz memberi jaminan kepada Feline bahawa pesanan tambahan itu dibuat untuk Kementerian Pendidikan menerusi inisiatif Merdeka Collection. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast