Ulya Aqamah Husamuddin. foto AFFAN FAUZI 30 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengamalkan prinsip demokrasi dan tidak menghalang mana-mana jawatan dalam parti itu untuk dipertandingkan.

Namun buat masa ini, menurut Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamudin, penyandang tiga jawatan tertinggi masih perlu dikekalkan demi menerajui parti menggunakan pengalaman mereka.

Tiga jawatan itu adalah Pengerusi, Presiden dan Timbalan Presiden parti.

“Pengalaman urus tadbir mereka yang meluas sama ada dalam organisasi atau pentadbiran kerajaan masih diperlukan supaya perjalanan dan pengurusan parti kekal lancar.

“Walaubagaimanapun, hak bertanding adalah hak demokrasi ahli parti. Namun, buat masa ini, bagi kelangsungan dan proses pengukuhkan parti adalah amat penting 3M kekal dikedudukan sedia ada,” katanya menerusi kenyataan.

Di sebalik itu, beliau berpendirian Bersatu perlu mengetengahkan tokoh baru agar sentiasa relevan di mata rakyat dengan adanya barisan pelapis.

“Pada masa yang sama, tokoh-tokoh baru juga perlu mula ditonjolkan oleh Bersatu bagi melengkapkan barisan kepimpinan.

“Ini amat penting untuk memastikan parti Bersatu mempunyai pelapis jangka masa panjang dan kekal relevan di mata rakyat,” kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi itu lagi.

Sebelum ini Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendedahkan terdapat beberapa pemimpin Bersatu di peringkat bahagian mendesak supaya tiga jawatan tertinggi parti tersebut tidak dipertandingkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 20 Julai ini. – MalaysiaGazette