Shariffa Sabrina Syed Akil
Shariffa Sabrina Syed Akil

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Khazanah Alam Malaysia (Peka) menggesa supaya pindaan kepada Akta Perhutanan Negara 1984 dilaksanakan bagi menangani isu yang timbul daripada permasalahan pengurusan hutan.

Presidennya, Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, ini kerana kerajaan dilihat tidak proaktif meminda undang-undang sedia ada bagi memastikan khazanah alam dapat dikekal, dipelihara dan diuruskan dengan cara mampan.

“Pembalakan haram tidak dianggap sebagai satu jenayah yang serius. Terdapat pihak berkuasa negeri yang semakin giat mengeluarkan status tanah hutan simpanan kekal dan memberikan lesen pembalakan kepada syarikat pembalakan di kawasan hutan simpan dan juga di kawasan tanah adat Orang Asli,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Shariffa Sabrina berkata, pihaknya telah mengadakan beberapa rundingan dengan rakyat, NGO, agensi kerajaan dan pakar alam sekitar.

Ujarnya, bermula hari ini, Peka akan mendekati Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bagi menerangkan intipati penting berhubung cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan itu.

Tambah beliau, pada 18 Julai ini, Peka akan mengadakan satu perarakan aman ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum cadangan pindaan itu kepada ahli Parlimen kedia-dua belah pihak.

“Peka amat mengalu-alukan dan merayu seluruh rakyat Malaysia dapat bersama-sama menyertai perarakan aman ini bagi memberikan sokongan terhadap usaha Peka memastikan pengurusan hutan di negara ini menjadi lebih mampan.

“Kami juga yakin perarakan ini akan memberikan kesedaran dalam kalangan mereka yang masih tidak menyedari betapa pentingnya hutan kita ini untuk mengekalkan kehidupan yang berkualiti,” katanya. – MalaysiaGazette