Dr. Lee Boon Chye

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan menyangkal dakwaan pihak tertentu bahawa proses mendapatkan laporan bedah siasat kematian 12 mayat Orang Asli di Kampung Kuala Koh, Kelantan sengaja dilambatkan.

Timbalan Menterinya, Dr. Lee Boon Chye berkata, pada kebiasaannya proses bedah siasat tidak mengambil masa yang lama melainkan proses lain terlibat selain bedah siasat fizikal.

“Lazimnya ia tidak memakan masa lama untuk mendapatkan hasil laporannya tetapi dalam kes (12 mayat Orang Asli) selain bedah siasat fizikal, ia juga melibatkan ujian lain makmal lain termasuk ujian kimia.

“Ujian agen kimia dan sebagainya yang dipanggil toksikologi juga memakan sedikit masa,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen selepas sidang Dewan Rakyat ditangguhkan untuk rehat pada pukul 1 petang tadi.

Ditanya mengenai terdapat mayat yang tidak sempurna ditemui, Ahli Parlimen (Gopeng-PH) itu mengakui ia akan menyukarkan proses bedah siasat disebabkan tidak banyak tisu pada mayat tersebut.

Selain itu katanya, keadaan itu juga akan menyukarkan proses mengenalpasti punca kematian.

“Namun dalam perkara ini yang paling penting sekali, kami mahu memastikan tidak wujud elemen jenayah di sebalik kematian 12 Orang Asli berkenaan,” ujarnya.

Ditanya mengenai sebab kelewatan autopsi katanya, pihak wajar memahami keadaan kesemua mayat itu digali semula.

“Lagipun kematian berlaku dalam komuniti Orang Asli dan menjadi amalan normal (Orang Asli) untuk menghantar mereka yang sakit atau mati dijauhkan bagi mengelak ia merebak.

“Mereka juga mempunyai kepercayaan dan amalan tersendiri dalam mengkebumikan ahli suku kaum mereka dan semuanya dapat diketahui hanya selepas didedahkan laporan media bahawa ada banyak kematian berlaku.

“Maka tindakan menyusul apabila kita menjejaki lokasi dan menggali semula kesemua mayat Orang Asli dengan bantuan polis, jadi saya tak rasa wujud kelewatan kecuali kita menemui mayat lebih awal dan senarionya berbeza,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette