Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof bercakap pada Sesi Taklimat Dasar Keusahawanan bersama media di SME Corporation Malaysia, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 bakal mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan sosio-ekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mapan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, ini kerana dasar itu akan membentuk masyarakat yang berpemikiran dan berbudaya keusahawanan.

Jelas beliau, DKN 2030 juga menyasarkan peningkatan jumlah usahawan yang berkualiti, berdaya maju, berdaya tahan, berfikiran global dan kompetitif.

“DKN ini juga bertujuan mempertingkatkan keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta koperasi.

“Pada masa sama, dasar itu berhasrat menjadikan keusahawan sebagai kerjaya pilhan terutama kepada anak muda,” katanya.

MGF07072019_Taklimat+Dasar+Keusahawanan+Bersama+Media_04
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof bercakap pada Sesi Taklimat Dasar Keusahawanan bersama media di SME Corporation Malaysia, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 JULAI 2019

Beliau berkata demikian dalam taklimat DKN 2030 bersama media di SME Corp di sini hari ini.

DKN 2030 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Redzuan menambah, DKN merupakan strategi jangka panjang ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Keusahawanan Unggul menjelang tahun 2030.

Kata beliau, ia menggariskan 21 objektif pembangunan keusahawanan negara yang merupakan antara usaha kementerian untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi di Malaysia menjelang 2030, khususnya yang membabitkan usahawan.

“DKN akan melibatkan rangka kerja keusahawanan yang komprehensif dan holistik bagi meningkatkan keupayaan perusahaan kecil sederhana dan usahawan.

“Namun DKN tidak inklusif untuk Kementerian Pembangunan Usahawan sahaja kerana ia turut melibatkan penglibatan kementerian lain bagi menyediakan sebuah ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif,” katanya. – MalaysiaGazete