Noraini Ahmad
Pengerusi PAC, Datuk Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen berhubung tuntutan tunggakan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Selasa depan.

Pengerusi PAC, Datuk Noraini Ahmad berkata, laporan itu sudah dimuktamadkan secara sebulat suara oleh 13 ahli PAC pada hari ini.

Beliau mengakui ia adalah satu prosiding yang lama apabila PAC Parlimen mengambil masa selama 11 bulan bermula 15 Ogos 2018 untuk menyiapkan laporan itu dengan mengadakan 10 mesyuarat prosiding membabitkan 10 saksi.

Ia termasuk mantan Menteri Kewangan, Menteri Kewangan, mantan Menteri Kewangan II, mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Akauntan Negara.

Menurutnya, PAC Parlimen mendapat taklimat daripada Jabatan Audit Negara (JAN) sebanyak tiga kali serta mendapat pandangan daripada Jabatan Peguam Negara selain mengadakan mesyuarat penyediaan laporan ini sebanyak empat kali.

Bilangan mesyuarat itu adalah mencukupi bagi membuktikan PAC Parlimen mahu memastikan siasatan diadakan daripada setiap aspek dalam mencari kebenaran dan keadilan berhubung isu itu demi kepentingan negara dan rakyat.

Noraini berkata, dalam menyediakan laporan ini, PAC Parlimen turut mendapat input daripada tujuh kementerian dan jabatan iaitu Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (KHE), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Audit Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Akauntan Negara.

“Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana semua ahli-ahli PAC Parlimen sama ada daripada pihak kerajaan dan pembangkang dapat mencapai keputusan sebulat suara dalam menyiapkan laporan ini khususnya, untuk perkara rumusan dan syor berhubung tuntutan tunggakan GST berjumlah RM19.4 bilion.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada mantan Pengerusi PAC Parlimen, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang memulakan siasatan serta prosiding dengan meletakkan asas kepada PAC Parlimen dalam mengadakan siasatan dan prosiding terhadap isu ini,” ujarnya.

Beliau berkata, laporan ini amat komprehensif dan input, pandangan serta maklum balas daripada ketujuh-tujuh kementerian dan jabatan yang bertindak sebagai exofficio PAC Parlimen amat penting dalam memastikan segala maklumat, rumusan serta syor dalam laporan tidak menyebelahi mana-mana pihak serta berasaskan fakta yang sahih dan tepat.

Selepas dibentangkan di Dewan Rakyat, orang ramai boleh mendapatkan laporan ini dengan memuat turunnya daripada laman web PAC Parlimen di alamat www.parlimen.gov.my/pac pada hari yang sama ia dibentangkan. – MalaysiaGazette