Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Hukuman penjara setahun yang dijatuhkan ke atas Wan Ji Wan Hussin masih ringan berbanding pelbagai ungkapan penghinaan yang dilemparkan bekas penasihat agama Lim Guan Eng melalui status Facebooknya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sekiranya Malaysia mengamalkan undang-undang Lese-Majeste, tindakan-tindakan penghinaan seperti ini akan dihukum dengan berat oleh pemerintah.

Di Thailand umpamanya, seorang peguam terkenal Prawet Prapanukul dijatuhkan hukuman penjara 150 tahun kerana menghina raja.

Malah mengikut laporan Kumpulan Peguam Thailand untuk Hak Asasi Manusia, sehingga 2017 sekurang-kurangnya 93 kes menghina raja membabitkan 138 individu didapati bersalah sejak tentera merampas kuasa.

“Apa sangat setahun penjara jika dibandingkan apa yang berlaku di negara jiran Thailand!,” katanya yang turut mempersoalkan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan hukuman ke atas Wan Ji.

Sebaliknya, kata Asyraf, Pemuda UMNO juga tertanya-tanya di mana suara parti-parti Melayu seperti PPBM dan PAN dalam Pakatan Harapan.

“Apakah pendirian sebenar PH apabila komponen mereka pertahankan pesalah jenayah yang jelas menghina institusi Raja?

“Apakah rakyat Malaysia masih boleh menyandarkan harapan kepada PH untuk memelihara dan mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan?,” soalnya. – MalaysiaGazette