KUALA LUMPUR – Umat Islam di Malaysia boleh membuat semakan dan mengesahkan arah kiblat esok apabila kedudukan matahari berada tepat di atas Kaabah ekoran fenomena unik yang berlaku dua kali setahun.

Planetarium Negara dalam satu kenyataan berkata penentuan arah kiblat boleh dilakukan dengan memerhati bayang-bayang matahari yang dihasilkan oleh objek tegak tepat pada pukul 5.27 petang waktu Malaysia.

“Orang ramai hanya perlu mencari objek tegak seperti dinding bangunan, tiang elektrik dan rangka tingkap yang tegak atau menggantung objek berat dengan talinya yang menegak menghasilkan bayang-bayang yang menghala arah Kaabah.

“Fenomena ini berlaku sebanyak dua kali dalam setahun iaitu pada setiap 28 Mei dan 16 Julai dan bayang-bayang yang terhasil bergantung kepada keadaan cuaca semasa,” menurut kenyataan itu hari ini.

Dalam pada itu, orang ramai juga boleh menyaksikan fenomena gerhana bulan separa yang dijangka berlaku pada Rabu, 17 Julai bermula pukul 4.01 pagi dan akan berakhir pada 6.59 pagi waktu Malaysia.

“Gerhana pada kali ini akan mencapai peringkat maksimum pada pukul 5.30 pagi yang mana pada waktu itu hampir separuh permukaan bulan akan dilindungi oleh umbra (bayang-bayang) bumi,” katanya.

Justeru, Planetarium Negara akan dibuka kepada orang awam bermula pukul 2 pagi pada Rabu dan menyediakan beberapa teleskop bagi memudahkan orang ramai menyaksikan fenomena ini.

Sesi pencerapan planet Zuhal dan Musytari akan turut diadakan di hadapan pintu masuk utama Planetarium Negara bermula seawal 2 pagi.- BERNAMA