Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyiasat dakwaan pendakwah kontroversi, Wan Ji Wan Hussin bahawa beliau dipukul oleh seorang warden penjara ketika ditahan di Penjara Kajang.

Katanya, dakwaan itu serius dan perlu disiasat segera kerana melibatkan jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Saya percaya Menteri Dalam Negeri akan ambil tindakan supaya siasatan itu dibuat.

“Kalau pengalaman saya di penjara Sungai Buloh tidak (kena pukul) tetapi selalu saya gesa supaya mereka jangan langgar peraturan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar percaya Wan Ji tidak mengada-ngada cerita bahawa dirinya dipukul oleh warden penjara.

“Saya percaya Wan Ji punya wibawa untuk tidak mengada adakan fakta.

“Jadi wajar pihak yang berwajib, dalam hal ini penjara kajang harus siasat,” katanya.

Wan Ji kelmarin mendedahkan bahawa dirinya ditumbuk sebanyak tiga kali oleh warden berkenaan setelah memintanya menanggalkan cermin mata.

“Ana (saya) masuk (penjara) ana cakap jujurlah, ana kena pukul. Masuk tu, ada seorang mamat tu, mula-mula masuk ana pakai baju Melayu, dia suruh buka baju, bukalah baju tinggal seluar. Lepas tu nak botakkan kepala janggut semua ni.

“Ada seorang budak (warden) tu cakap Kelantan. Dia tutup muka, pakai baju warden, dia tanya demo namo gapo.

“(Dia suruh) Buka spec. Dah buka, tu bam bam, tiga kali dia bagi. Apa salah aku? (Warden) Yang lain gelak-gelak, bukan nak halang pun,” katanya ketika menyampaikan kuliah dalam satu rakaman video. -MalaysiaGazette