Wakil nelayan Pulau Pinang, Perak dan wakil NGOS hadir menyerahkan memorandum bantahan projek penambakan Pulau Pinang kepada Perdana Menteri dan beberapa menteri lain dalam perhimpunan rakyat di luar Bangunan Parlimen baru-baru ini.
Wakil nelayan Pulau Pinang, Perak dan wakil NGOS hadir menyerahkan memorandum bantahan projek penambakan Pulau Pinang kepada Perdana Menteri dan beberapa menteri lain dalam perhimpunan rakyat di luar Bangunan Parlimen baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pas Pulau Pinang mendakwa, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berani menyanggah apa yang dilakukan sekutunya, kerajaan DAP negeri itu, apabila berdepan dengan bantahan nelayan terhadap projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR).

Pesuruhjaya Pas negeri itu, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, ini berdasarkan pertemuan Presiden PKR itu dengan nelayan dan NGO yang membuat bantahan di depan pintu masuk Parlimen Khamis minggu lalu, hanya sekadar untuk mencuri perhatian lensa semata-mata.

Katanya, tidak ada penyataan jelas pendirian beliau menolak atau menerima projek raksaksa itu, bahkan Pas melihat Anwar cuba ‘makan keliling’.

“Publisiti murahan yang cuba diraih Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak membawa sebarang erti andai beliau tidak berani menyanggah sekutu sendiri.

“DAP kini cukup ghairah untuk menjayakan projek tersebut. Malah, Anwar mungkin trauma untuk membuat sebarang janji setelah Pakatan Harapan (PH) ‘popular’ memungkiri.

“Beliau hanya muncul setelah warga marhaen menzahirkan bantahan di Parlimen minggu lalu. Namun, di sebalik pembelaan kononnya cuba dijuarai itu, Anwar juga membangkitkan masalah kontraktor kelas menengah dan rendah yang dibawanya kepada Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Muhammad Fauzi berkata, adakah kemunculan Anwar itu untuk memperjuangkan nasib rakyat yang terumbang ambing dan bakal menerima kesan buruk atau kepentingan rakan kroni?

Menurutnya, lebih nampak lakonan itu apabila beliau menyeru nelayan supaya menolak pampasan yang ditawarkan dan apa bentuk kepuraan serta pemerdayaan sedang direncanakan.

“Sedarkah Anwar, tindakan itu seperti menampar pemimpin kerajaan negeri, khasnya Dr. Afif Bahardin yang sebelum ini pernah mendakwa 50 peratus nelayan bersetuju dengan PSR.

“Walhal, kalau merujuk laporan Kesan Impak Persekitaran (EIA), hanya 17 nelayan sahaja yang bersetuju dengan projek kira-kira 4,500 ekar itu,” katanya.

Beliau mempersoalkan Anwar, bahawa selama projek itu dan rangkaian berkaitannya dibantah, tidak ada seorang pun Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PH dan PKR menyuarakan kepentingan penduduk.

“Apakah sebenarnya pendirian PKR dalam isu ini? Jangan hanya kerana isu sedang mendapat liputan media, beliau menyelit berlagak hero,” ujarnya. – MalaysiaGazette