Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Pas hari ini mengambil pendekatan ‘berpatah arang berkerat rotan’ dengan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, parti bertunjangkan Melayu itu tidak selera untuk menyertai gabungan tersebut yang menjalinkan hubungan dengan bekas rakannya, DAP.

“Tiada selera, cukup itu sahaja,” katanya ringkas.

Abdul Hadi memberikan reaksi terhadap pelawaan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk Pas bersama PH.

Semalam, Mukhriz berkata, PH sedia membuka pintu kepada Pas untuk menjadi sebahagian daripada komponen mereka demi penyatuan umat Islam di negara ini.

Beliau berkata, sebarang tindakan untuk penyatuan ummah adalah satu langkah baik, namun Pas diharap tidak meletakkan pelbagai syarat yang ketat sehingga boleh menyisihkan kaum lain.

“Pihak kami kena sentiasa terbuka, tetapi macam mana pun kena bertoleransi, tak boleh kata nak satukan umat Islam dalam negara ini tetapi pada masa sama nak menyingkirkan dan menyisihkan kaum lain,” katanya di Alor Setar semalam.

Jumaat lalu, Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa mempelawa Pas untuk mempertimbangkan tawaran menyertai PH jika tidak mahu perjuangan mereka selama lebih 60 tahun untuk menumbangkan kerajaan UMNO sia-sia.

Beliau dilaporkan berkata jika Pas menyertai PH sekarang, mereka boleh menjadi kerajaan dan pada pilihan raya akan datang, boleh menjadi kerajaan sekali lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast