Saksi yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Ung Sun Ling ketika hadir perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Hari ke-39 perbicaraan penyewelengan dana RM42 juta SRC International yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkemungkinan akan mendedahkan lebih banyak maklumat serta kontroversi.

Saksi pendakwaan ke-49, bekas Ketua Pegawai Eksekutif YR1M, Ung Su Ling semalam mendedahkan RM42 juta yang dimasukkan ke dalam dua akaun Najib oleh Syarikat Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) pada 2014 dan 2015, bukan milik Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M).

Sebaliknya, kata wanita yang kini sudah tidak bekerja itu hanya diberitahu untuk mengarahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif IPSB, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman supaya memindahkan wang berkenaan ke dalam dua akaun di AmIslamic Bank Berhad.

Arahan itu dedah Su Ling telah diminta oleh Allahyarham Datuk Azlin Alias iaitu bekas Setiausaha Sulit kepada Najib pada masa itu.

Kepada Su Ling, beliau dimaklumkan ketika itu kesemua wang tersebut adalah untuk menjalankan kerja-kerja tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Su Ling membuat pendedahan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Saksi itu menambah, pada Disember 2014 diaK diarahkan oleh Azlin untuk memberitahu Dr Shamsul supaya memindahkan RM27 juta dan RM5 juta secara berasingan ke dua akaun Ambank.

Kebanyakan arahan itu dilakukan oleh Azlin melalui aplikasi sosial Whatsapp yang menurut Su Ling telah dipadamkan olehnya selepas kematian Allahyarham.

Dalam pada itu, Su Ling juga mendedahkan sepanjang tahun 2013 sehingga 2015, YR1M menyalurkan RM120 juta kepada IPSB bagi pelaksanaan program yang dirancang, membabitkan penyaluran dana RM70 juta pada 2013; RM40 juta (2014); dan RM10 juta (2015).

Katanya, sejak awal penubuhan pada tahun 2013, YR1M menerima peruntukan dana berjumlah RM210 juta daripada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau juga memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa sumber wang salah satu akaun milik Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) adalah hasil perjudian daripada Kumpulan Genting.

“YR1M yang ditubuhkan pada Januari 2013 mempunyai tiga akaun di AmBank Berhad.

“Akaun yang sumber wang daripada Kumpulan Genting adalah untuk pembiayaan projek. Akaun kedua adalah untuk pembiayaan perbelanjaan operasi YR1M.

“Akaun ketiga adalah akaun untuk pembiayaan perbelanjaan projek di mana sumber wang adalah daripada sumber lain,” ujarnya.

Perbicaraan dan soal balas bersambung hari ini sebentar lagi sekitar jam 9.15 pagi. –MalaysiaGazette