Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas hadir pada perbicaraan kes SRC International Sdn BHD membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 18 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan tidak ada lagi sebarang ‘posting’ atau kenyataan awam berkaitan perbicaraan SRC International Sdn. Bhd. yang sedang berlangsung dilakukan di laman media sodial.

Pada prosiding pagi tadi, Peguam Negara, Tommy Thomas telah mengemukakan permohonan menuntut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memohon maaf kepada mahkamah kerana menyiarkan posting pada laman sosial Facebook miliknya berkaitan keterangan saksi dalam kes itu.

Kata Tommy, pihaknya tidak mahu mengemukakan prosiding menghina mahkamah terhadap tertuduh tetapi ia hanya permohonan maaf atas alasan tindakan itu subjudis.

Bagaimanapun peguam bela Najib, Tan Sri Shafee Muhamad menyatakan tindakan Najib tidak subjudis dan memohon masa sehingga Isnin depan bagi mengemukakan hujah menyokong kenyataan tersebut.

Mohd Nazlan yang membenarkan hujah dikemukakan pada minggu depan namun beliau mengingatkan seandainya sebarang ‘posting’ berhubung perbicaraan kes penyewelengan dana RM42 juta itu dilakukan pada masa hadapan ia akan dianggap sebagai menghina mahkamah.

MGF18072019_MAHKAMAH NAJIB21
Peguam Negara, Tommy Thomas.

Isnin lalu, Najib memuat naik posting yang menjelaskan penggunaan kad kredit miliknya dengan menyatakan ia bagi membeli hadiah untuk kerabat diraja luar negara.

Pada perbicaraan Isnin lepas, mahkamah diberitahu dua kad kredit milik Najib berjumlah RM3.3 juta telah digunakan dalam tempoh sehari di butik barangan kemas De Grisogono, Itali pada 2014.

Keterangan berkaitan transaksi kad kredit itu telah didedahkan oleh bekas Naib Presiden Kanan Kumpulan Ambank, Yeoh Eng Leong. – MalaysiaGazette