Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas menjangka piagam penyatuan ummah antara parti itu dengan UMNO diumumkan selewat-lewatnya pada Ogos ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perbincangan antara kedua parti itu kini sudah sampai ke peringkat hampir mencapai kata sepakat.

Katanya, jika piagam itu sudah termeterai, Pas dan UMNO akan memperluaskan kerjasama itu dengan mana-mana parti dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berminat untuk bersama.

“Penyatuan ummah ini bukan sekadar melibatkan kerjasama Pas dan UMNO sahaja, ia turut meliputi semua pihak termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Cuma pada peringkat awal kerjasama ini dimulakan Pas dan UMNO dahulu sebelum diperluaskan kepada mana-mana pihak,” katanya di Kota Bharu, hari ini.

Beliau menjelaskan, ada orang bukan Islam bertanya kepadanya adakah penyatuan ummah yang dimeterai itu hanya melibatkan dua parti, iaitu Pas dan UMNO sahaja.

“Saya kata, tidak. Untuk peringkat permulaan kita hanya mulakan dengan parti teras dahulu.

“Apabila sudah selesai mencapai kata sepakat, baharulah kita mulakan kerjasama dengan parti lain,” katanya. – MalaysiaGazette