KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan meminta Ketua Pemuda UMNO supaya tidak bersikap angkuh dengan terus menolak sebarang bentuk kerjasama perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di negeri Johor.
Ketua Penerangannya Nabil Halimi berkata, Datuk Dr Akmal Salleh seharusnya berpijak dibumi nyata dan menerima kerjasama itu demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.
“Kemenangan Pilihan Raya Kecil dengan majoriti besar oleh calon Kerajaan Perpaduan dari BN membuktikan kejayaan jalinan kerjasama kerajaan Perpaduan membabitkan PH dan BN.
“Kemenangan (DUN Mahkota) ini membuktikan kerjasama yang jitu dalam Kerajaan Perpaduan menjadi kunci kekuatan kita semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nabil turut menambah, pandangannya selari dengan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi yang menyatakan kemenangan BN tidak mungkin dicapai sekiranya mana-mana gabungan bergerak secara bersendirian.
Katanya lagi, setiap gabungan dalam Kerajaan Perpaduan mempunyai segmen dan sasaran yang berbeza.
“Oleh itu, menjadi keutamaan buat kita semua untuk saling bekerjasama dalam meyakinkan akar umbi parti masing-masing untuk menerima dinamik politik baharu ini.
“Segala perbezaan pandangan hendaklah diselesaikan secara baik dan damai. Berbeza pandangan tidak bermakna berpecah,” ujarnya.
Keputusan PRK DUN Mahkota menyaksikan calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah menang dengan majoriti besar sebanyak 20,648 undi. – MalaysiaGazette
Sebelum ko cadangkan di Johor..baik ko cadangkan dulu kerajaan perpaduan di Penang…