Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto SYAFIQ AMBAK, 19 JULAI 2019

PORT DICKSON – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui sasaran Wawasan 2020 yang diilhamkan olehnya  sewaktu menjadi Perdana Menteri keempat dahulu sudah tersasar.

Oleh yang demikian, Pakatan Harapan (PH) yang dipimpinnya hari ini muncul dengan sasaran baharu yang dilihat mampu membawa negara dan rakyat kepada satu tahap kehidupan yang lebih baik dari sekarang.

“Secara ringkas, definisi Wawasan Kemakmuran Bersama adalah usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus menerus membangun secara mampan.

“Ia seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan
inklusif di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan di kalangan rakyat menjelang tahun 2030,” katanya dalam ucapan perasmian Temu Rapat Majlis Pimpinan Pusat Sesi 2018/2019 yang berlangsung malam ini.

Hadir sama, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Pengerusi Majlis Penasihat PKR.

Oleh yang demikian, Mahathir berkata, bagi mencapai sasaran baharu itu, PH harus terus mencerminkan keutuhannya sebagai kunci bagi merealisasikan langkah itu.

“Saya tidak akan mampu melakukan ini secara sendirian. Tuan-tuan juga adalah pemegang amanah rakyat untuk memastikan mereka mampu mencapai cita-cita dan impian mereka.

“Kerana itu, di dalam mengejar mimpi kita, memastikan impian rakyat tercapai adalah lebih murni dan terpuji,” katanya lagi.

Wawasan 2020 adalah dasar pandangan jauh dikemukakan Mahathir ketika membentangkan kertas kerja khas bertajuk ‘Malaysia: Langkah Ke Hadapan’ pada persidangan pertama Majlis Perdagangan Malaysia pada 1 Mei 1991.

Sebelum ini, Mahathir menggantikan Wawasan 2020 dengan Wawasan 2025. -MalaysiaGazette