Suasana perarakan pada Sambutan Hari Bomba Sedunia 2019 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 20 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 balai bomba kategori E yang akan  berkhidmat di kawasan kampung di atas air, rumah panjang dan di pulau kawasan pedalaman Semenanjung dan Sabah Sarawak bakal dibina tidak lama lagi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, rancangan pembangunan itu telah dimasukkan dalam peruntukan Belanjawan 2019.

“Dengan pertambahan ini, kita perlukan lebih ramai anggota bomba. Buat ketika ini kita ada lebih 14,000 anggota dan 308 balai bomba dan insya Allah akan ditambahkan lagi.

“Balai bomba Kategori E ini akan dibina pada tahun 2020,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Bomba Sedunia 2019 hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah yang berangkat bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar.

Terdahulu dalam ucapan beliau, Zuraida berkata, keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong menyempurnakan sambutan Hari Bomba pagi ini telah memberi pengiktirafan dan semangat kepada lebih 14,000 bomba yang sentiasa mempertaruh nyawa dalam menyelamatkan nyawa rakyat.

“Sebenarnya sambutan 4 Mei lalu tapi kita adakan majlis hari ini dan kehadiran baginda YDPA dan Permaisuri memberi semangat kepada anggota kami terus berkhidmat cemerlang dengan meningkatkan lagi kecekapan, mutu prestasi dan juga khidmat kepada rakyat semasa musibah.

“Kita ketika ini bangga mempunyai bomba bertaraf antarabangsa dalam bidang penyelamatan air, udara dan juga Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) serta bidang forensik sehingga boleh diberikan gred pencapaian tahap tinggi,” ujarnya.

Malah, beliau turut mengakui dengan tema ‘ Bomba Tonggak Penyelamatan Negara, kekuatan, keteguhan serta komitmen mereka kepada masyarakat secara tidak langsung meningkatkan pengetahuan untuk menghasilkan perkhidmatan terbaik dan profesional.

Justeru katanya, program pendidikan sentiasa dipelbagaikan bagi menggalakan rakyat membudayakan amalan keselamatan dalam kehidupan seharian dan seterusnya melahirkan Citizen Life Saver di negara ini.

“Langkah inklusif yang diambil ialah mewujudkan pasukan suri khusus kepada kaum wanita, pasukan bomba komuniti di lokaliti perumahan dan pasukan bomba sukarela di lokasi-lokasi seperti atas air dan rumah panjang.

“Kerajaan juga komited menyediakan pelbagai inisiatif untuk memastikan kelestarian perkhidmatan kebombaan di negara ini setanding dengan negara lain di persada antarabangsa.

Penghantaran anggota bomba untuk seminar, latihan, kursus di luar negara seperti dalam bidang penyelidikan dan perancangan, sains kebakaran dan kejuruteraan kebakaran akan diteruskan supaya bertaraf dunia,” katanya.

Zuriada turut ditanya mengenai perasaannya ketika mengenakan uniform rasmi bomba selepas beliau kelihatan tidak selesa di atas pentas.

Beliau bagaimanapun dengan senyum berkata:”ini kali kedua saya berpakaian formal. Tahun lepas pertama kali di Negeri Sembilan. Saya ingat orang cakap saya segak pakai baju uniform ini,” katanya.- MalaysiaGazette