Dari kiri Juyana Musa (kiri), Shahrizal Sahari (tengah) dan Nor Izni Soleh.

KUALA LUMPUR – “Kalau takut (tugas bomba) bagaimana nak selamatkan mangsa yang begitu mengharapkan kita”.

Demikian reaksi Timbalan Penguasa Bomba, Sharizal Sahari yang juga juruterbang helikopter Agusta AW139 Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Juruterbang berusia 35 tahun yang berkhidmat di Unit Udara Bomba di Pengkalan Udara Bertam Kepala Batas, Pulau Pinang itu berkata, tugasnya sebagai anggota bomba menjadikan dirinya berani berdepan cabaran berliku dan berisiko tinggi yang menanti setiap saat.

Menjadi juruterbang unit udara Agusta 139 Bomba dan Penyelamat memberinya peluang membangunkan kariernya selepas memulakan kerjaya sebagai menjadi anggota bomba sebelum diserap sebagai Komander Pasukan Khas, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM).

“Pada mulanya hanya mahu berbakti kepada masyarakat, sebelum peluang terbuka luas untuk menyertai unit penyelamat udara sejak lima tahun lalu.

“Sebagai orang awam kita tengok karier bomba berisiko tinggi dan bersifat mengembara…bomba lebih mencabar dalam keadaan terkawal tetapi perjalanan berbeza dan kita kena tahu apa yang perlu lakukan.

“Kalau kita takut bagaimana hendak selamatkan mangsa yang mengharapkan kita (ketika bencana),” katanya kepada MalaysiaGazette di Dataran Merdeka ketika ditemui pada sambutan Hari Bomba Sedunia 2019.

Sharizal yang sudah berumahtangga dan memiliki dua cahaya mata berkata, perkembangan teknologi terkini serta perubahan cuaca memaksa setiap anggota bomba bersiap sedia dengan segala pengetahuan dan langkah terbaik mengharungi setiap detik kecemasan.

“Saya ada dua saat getir yang pernah dilalui iaitu pertama ketika saya menjadi komander pasukan menyelamat STORM, pernah terlibat misi mencari dan menyelamatkan tanah runtuh di Hulu Langat melibatkan rumah anak-anak yatim.

“Saya berada di lokasi semasa mengeluarkan mayat, mangsa budak-budak. Memang sedih tapi saya terpaksa mengawal emosi dan diri demi tugas.

“Keduanya insiden kebakaran hutan di Baling, Kedah dua tahun lepas dan misi menyelamatkan 23 pelancong asing terperangkap di Bukit Bendera pada 2018 antara saat yang memberi saya ilmu dan pengalaman untuk terus mara dan cemerlang dalam kerjaya bomba,” tegasnya.

Sementara itu, Nor Izni dari Balai Bomba Seksyen 15, Shah Alam pula sentiasa menanti-nantikan peluang untuk menguji daya tahannya di lapangan.

Katanya, bomba adalah kerjaya pilihannya, lantaran itu dia sentiasa menuntut kepuasan maksimum.

“Bomba banyak membantu mangsa tanpa mengambil peduli keadaan tapi bagi saya ia adalah pengorbanan kami tanpa mengharapkan imbuhan atau sebarang ganjaran.

“Walaupun belum pernah terlibat sebarang misi bencana di darat atau udara tetapi insiden tujuh anggota bomba lemas dalam kejadian di Puchong tahun lepas memberi kesan mendalam kepada diri saya.

“Dua daripada enam mangsa itu adalah rakan setugas dari balai saya.. sedih juga tengok nasib mereka itu..Tetapi insiden itu tidak galang saya untuk berdepan dengan tugasan mencabar di lapangan,” tegasnya.

Penolong Kanan Penguasa Bomba Bahagian Operasi Selangor, Juyana@Azlan Musa berbangga menjadi sebahagian daripada keluarga bomba kerana kerjaya ini kental dan mengajar erti keberanian dalam menghadapi cabaran.

Pernah terlibat pelbagai operasi dan misi menyelamat mangsa bencana, Juyana tidak menafikan ada kejadian kemalangan dan kecelakaan yang menghayat hati.

“Tetapi hati kita kena kuat, kental demi menyelamatkan mangsa.

“Kami ini hero yang tak didendang tetapi mempunyai semangat kental dan sentiasa sedia turun ke lapangan pada bila-bila masa. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.