Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir bercakap pada sidang media selepas hadir pada Perhimpunan Agung Khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Maeps Serdang, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 20 JULAI 2019.

SERDANG – Perhimpunan Agung Khas Bersatu yang berlangsung hari ini meluluskan usul bagi membolehkan pemilihan parti itu ditangguhkan selama 18 bulan bermula daripada tarikh sepatutnya ia diadakan.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pindaan perlembagaan memaklumkan 79 daripada 80 pindaan dicadangkan telah diluluskan.

“Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) umum untuk tangguh pemilihan parti selama 18 bulan daripada tarikh sepatutanya ia diadakan,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Khas berkenaan di Maeps, Serdang, di sini.

Hadir sama Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, media melaporkan Bersatu mempertimbang untuk menangguhkan pemilihan pimpinan partinya yang pertama.

Parti yang ditubuhkan pada September 2016 itu perlu memilih pimpinan setiap tiga tahun.

Fasal 13.3 perlembagaan parti menyatakan pemegang jawatan tertinggi dan jawatankuasa seramai 15 anggota mesti dipilih melalui perhimpunan agung tahunan parti pada setiap tiga tahun.

Dr Mahathir turut dilaporkan menyatakan bahawa pemilihan Bersatu yang sepatutnya diadakan tahun ini, tidak akan ditangguhkan.

Beliau berpendapat pemilihan parti itu perlu diadakan lebih awal memandangkan kepemimpinan yang ada kini adalah dilantik.

Malah, beliau menegaskan pemimpin yang dipilih secara lantikan adalah sukar untuk mengembangkan parti itu.

Dalam pada itu Mukhriz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan berkata, melalui penangguhan itu Bersatu boleh mengadakan pemilihan parti sama ada hujung tahun ini ataupun selewat-lewatnya Jun tahun depan.

Mengulas mengenai 80 pindaan perlembagaan dikemukakan, Mukhriz menjelaskan ia termasuk pindaan dan cadangan penambahbaikan perlembagaan parti itu.

Ditanya mengenai satu usul pindaan yang tidak diluluskan, beliau enggan mengulas lanjut, sebaliknya hanya memaklumkan ia membabitkan soal keahlian.

“80 pindaan dibuat, ada yang dipinda dan ada tambahan kepada fasal-fasal tertentu dalam perlembagaan.

“Satu saja tidak dipersetujui (pindaan), tidak signifikan dan hanya masalah kecil soal keahlian,” katanya.

Sementara itu, Mukhriz berkata, parti itu telah memperkenalkan sistem satu undi satu (sasu) ahli membabitkan pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian.

Bagaimanapun, sistem sasu itu tidak digunakan bagi pemilihan peringkat jawatankuasa MPT. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.