Kenyataan yang dikeluarkan oleh Peguam Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berhubung perceraian baginda dengan Rihana.

KUALA LUMPUR- Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sah bercerai talak tiga dengan Ratu Cantik Moscow, Rihana Oksana Gorbatenko.

Perkara tersebut telah disahkan oleh peguam baginda, Koh Tien Hua dalam satu kenyataan.

“Dimaklumkan bahawa baginda telah bercerai talak tiga dengan Rihana Oxana Gorbatenko pada 22 Jun 2019 mengikut undang-undang Syariah dan Mahkamah Syariah Kelantan telah mengeluarkan Surat Perakuan Perceraian pada 1 Julai 2019 mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2002,” katanya melalui firma guaman Eversheds Harry Elias LLP yang berpangkalan di Singapura.

Tien Hua yang dipetik dari Sinar Harian berkata, firma guamannya telah menghantar surat cerai tersebut kepada peguam Rihana.

Tiada sebarang alasan perceraian dimaklumkan menerusi kenyataan tersebut.

Rihana dalam satu temubual eksklusif dengan Malaysiakini mendakwa dia masih isteri kepada Sultan Muhammad V.

Katanya, beliau tidak pernah menjejakkan kaki ke Singapura pada Jun lalu untuk mendengar lafaz cerai sebaliknya berada di negara kelahirannya, Rusia bersama cahaya mata pertamanya.

“Secara peribadi saya tak pernah dengar sebarang talak dijatuhkan secara bersemuka kepada saya.

“Saya di Rusia bersama dengan anak. Saya dan anak tidak pernah menjejakkan kaki ke Singapura pada Jun lalu untuk bercerai,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakini.

Untuk rekod, seseorang isteri tidak perlu hadir ke mahkamah syariah untuk mendengar lafaz cerai dijatuhkan kerana suami boleh melafazkan cerai di luar mahkamah sebelum ia direkodkan.

New Straits Times (NST) dalam laporan memetik sumber menyatakan, pasangan itu bercerai pada 22 Jun lalu, manakala pemfailan cerai adalah pada 1 Julai di Mahkamah Syariah Singapura.

NST turut dilaporkan sebagai berkata, salinan sijil perceraian kedua-dua pasangan yang tular itu adalah sah dengan perceraian “talak tiga buat kali pertama” atau talaq baayin.

Pasangan tersebut berkahwin dalam satu majlis tertutup di Rusia, November 2018 dan menimang cahaya mata, Tengku Ismail Leon Petra pada 21 Mei lalu.- MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/20/kami-tidak-pernah-bercerai-rihana/