Seorang sarjan tentera antara lapan lelaki Orang Asli yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki enam tahun lalu.
PUTRAJAYA – Seorang bapa hari ini dihukum penjara 45 tahun dan 24 sebatan rotan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap 38 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal, melakukan seks luar tabii dan percubaan merogol terhadap anak perempuan sulungnya.

Hakim Mahkamah Jenayah Seksual terhadap Kanak-Kanak Yong Zarida Sazali memerintahkan lelaki yang berumur 35 tahun itu menjalani hukuman penjara bermula tarikh dia ditangkap iaitu 12 Julai lepas.

Beliau juga memerintahkan penjual burger itu menjalani kaunseling pemulihan selama 10 tahun serta menjalani pengawasan polis selama tiga tahun selepas dia selesai menjalani hukuman penjara.

Lelaki itu dihadapkan ke mahkamah hari ini terhadap 26 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak sulung daripada lima beradik mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Dia juga menghadapi enam pertuduhan melakukan seks luar tabii terhadap mangsa yang kini berusia 14 tahun dan didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan serta dua pertuduhan mengikut Seksyen 377CA kanun sama.

Dia juga didakwa empat pertuduhan percubaan merogol anak perempuannya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu dituduh melakukan kesalahan itu di tiga tempat di Daerah Kuala Selangor dari 7 Julai 2017 sehingga 7 Julai 2019.

Ketika merayu hukuman ringan, lelaki itu berkata dia bertaubat dan insaf.

Timbalan Pendakwa Raya Norazalina Razali memohon mahkamah mengenakan hukuman tinggi dan sebatan terhadap tertuduh.

Beliau berkata. sebagai pemegang amanah, tertuduh sepatutnya mendidik dan mengajar anaknya dengan baik dan bukan mengambil kesempatan untuk mencabul dan cuba merogol anaknya.

Norazalina berkata, mangsa dicabul sejak beliau berumur 12 tahun dan tertuduh mengambil kesempatan untuk melakukan perbuatan itu sewaktu ahli keluarga sedang tidur atau tiada di rumah. – MalaysiaGazette