KUALA LUMPUR – Gangguan bekalan air yang kini menghantui penduduk Kuala Lumpur dan Selangor disebabkan margin simpanan air rendah di Lembah Klang.

Lantas, jika berlaku gangguan, maka ia akan berlarutan beberapa hari.

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia berkata, pihaknya telah memberi amaran beberapa kali kepada kerajaan sejak tahun 2011 lagi.

“Kami berharap juga pihak berwajib mengambil langkah ke hadapan untuk mengelak berlakunya gangguan dan bukannya berikan jawapan separuh masak, di mana menyalahkan isu ini tapi tak boleh buat apa-apa.

“Kalau tak boleh, letak jawatan biar orang lain yang buat kerja,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika diminta mengulas gangguan air berskala besar di Selangor dan Kuala Lumpur.

Presidennya, S. Piarapakaran berkata, penguatkuasaan yang masih lembap juga menyebabkan masalah ini berlaku.

AWER juga sudah lama mengesyorkan kepada kerajaan supaya menambah klausa untuk mendapatkan ganti rugi kehilangan pendapatan kepada loji-loji air dan pengguna.

Menurut beliau, setiap loji rawatan air ada standard prosedur untuk henti tugas.

“Punca yang dikenal pasti ini adalah tapak pengorekan pasir di hulu. Sebelum itu, adalah bahan pencemar yang dilepaskan ke sistem kumbahan.

“Jika ternampak tompok minyak, terhidu bau yang kuat, kekeruhan yang lebih tinggi daripada keupayaan loji untuk tangani, kandungan bahan kimia yang terlarut (yang diuji) yang melebihi had operasi loji antara sebab-sebab loji diberhentikan. Apabila loji berhenti serta-merta maka ia akan menjadi gangguan bekalan air tidak terjadual,” tambahnya.

Malah, ujar beliau, kadang-kadang bahan-bahan ini kalau tidak ambil sampel sukar untuk dikesan, maka untuk operasi loji perawatan air mungkin pelaburan dalam teknologi yang lebih cekap diperlukan terutamanya bagi loji-loji berisiko pencemaran yang tinggi. .

Ada juga bahan kimia yang bertindak balas secara semulajadi tetapi bahan-bahan sebegini lagi sukar untuk dikesan kecuali pengesanan yang awal.

Bagaimanapun, katanya, pada masa yang sama, pesalah hanya membayar denda dan mungkin kos pembersihan sahaja.

“Sudah sekian lama kami syorkan supaya kerajaan menambah klausa untuk mendapatkan ganti rugi kehilangan pendapatan kepada loji air dan juga pengguna.

“Ini dapat meningkatkan tindakan punitif dari segi ekonomi kepada pesalah. Bagi mana-mana kontraktor yang menjalankan kerja-kerja infrastruktur, mereka perlu dikenakan syarat tambahan jika kerja-kerja mereka berhampiran atau di lokasi sumber air,” ujarnya. – MalaysiaGazette