Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyambut hari kelahiran yang ke-66 bersama ratusan penyokongnya di luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta sebentar tadi.

Dengan laungan ‘Allah Selamatkan Kamu’, para penyokongnya sanggup menunggu beliau di kompleks mahkamah sejak pukul 7 pagi tadi dengan membawa kek untuk dipotong Ahli Parlimen Pekan itu.

Polis juga melarang kumpulan itu daripada mengadakan sambutan di dalam kompleks mahkamah, sebaliknya ia hanya sekadar diadakan di pekarangan mahkamah sejurus selepas Najib tiba.

Turut kelihatan, bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan.

Najib tiba lewat hari ini, iaitu pada jam 11 pagi, kerana terpaksa berada di Mahkamah Rayuan di Putrajaya bagi menarik balik rayuan dalam pertuduhan kes SRC International Sdn. Bhd yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi.

Setibanya di mahkamah, Najib memotong kek itu sebelum naik ke tingkat lima menghadiri sambungan perbicaraan SRC International yang masuk hari ke-42.

Najib yang kelihatan ceria pagi ini menyapa semua orang yang berada di sekelilingnya termasuk wartawan, jurugambar disusuli laungan ‘Selamat hari jadi bossku’ di kawasan mahkamah.

Prosiding bermula jam 11.20 pagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali. – MalaysiaGazette